Berita

Isu PATI di Sabah perlu tindakan segera, bukan dengar aduan lagi

KOTA KINABALU, 12 JAN: Selepas 40 tahun kebanjiran pendatang tanpa izin di Sabah, kerajaan masih belum melaksanakan tindakan segera membendungnya dari berlarutan, kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

“Selepas 40 tahun isu pendatang asing tanpa izin di Sabah, ini bukan masanya untuk bercakap dan mendengar aduan, tetapi waktu untuk bertindak.

“Hanya tindakan dapat selesaikan masalah,” kata Kit Siang dalam ucapannya di forum DAP Sabah mengenai laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Pendatang Tanpa Izin Sabah (RCIIIS).

Ujar Kit Siang, Pakatan Rakyat ada menerima pelawaan Pengerusi RCIIS Tan Sri Joseph Kitingan untuk memberikan pandangan mengenai penemuan dalam laporan tersebut.

“Tapi isu pendatang ini sudah lama dan usang sekali,” ujarnya.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, penyelesaian masalah peningkatan populasi Sabah dengan kemasukan pendatang tanpa izin dan jenayah ‘Projek IC’ untuk mengundi dalam pilihanraya sudah kerap berulang.

“Pairin sendiri tahu penyelesaiannya, tetapi dia tidak jujur dan berpura-pura mahu mendengar pandangan lain, kononnya mimpi buruk 40 tahun boleh diselesaikan (dengan cara itu).

“Pairin tahu bahawa tidak ada jalan singkat menyelesaikan isu ini, kerana terdapat kelompangan ketika dia sendiri menjadi saksi RCIIIS,” ujar Kit Siang

Dalam laporan RCIIS pada mukasurat 31, Pairin memberi testimoninya kepada suruhanjaya tersebut.

Isu masalah pendatang tanpa izin dikemukakan berulangkali oleh Parti Bersatu Sabah (PBS) termasuk ikrar ‘keazaman politik’ dalam perhimpunan tahunannya, namun ketika pemimpin parti itu menjadi pengerusi RCI, tidak banyak usaha dilakukan

“Adakah Pairin sudah jelaskan ‘keazaman politik’ itu, atau hanya mengulang-ulang kenyataannya saja?

“Adakah Pairin sedia untuk beritahu Najib, Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman untuk melakukan tindakan drastik menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin ini?

“Atau terus berpura-pura mendengar, padahal tidak melakukan apa-apa,” perli Kit Siang. – Roketkini.com