Berita

PM mesti jamin isytihar darurat jika banjir buruk berlaku lagi

GELANG PATAH, 14 JAN – “Jika bil Kerajaan Persekutuan sudah pun mencecah RM800 juta pada 5 Januari untuk menyediakan bekalan makanan, logistik dan kerja membersihkan rumah mangsa banjir, berapakah jumlah perbelanjaan kerajaan pada 14 Januari?”

Demikian persoalan yang ditimbulkan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkenaan kekeliruan Kabinet yang nampaknya lembab dan masih berada dalam mood cuti tahun baru.

Beliau terus mempertanyakan kenapa Kerajaan Barisan Nasional gagal mengisytiharkan darurat berikutan bencana banjir terburuk yang melanda negeri-negeri Pantai Timur pada penghujung Disember lalu.

“Pada hari Ahad, Menteri Kesihatan Datuk S Subramaniam telah bercakap mengenai keinginan Kementerian Kesihatan untuk memiliki angkatan udara dan lautnya sendiri demi berhadapan bencana banjir akan datang.

“(Ini) Memandangkan pihak Kementerian tidak mampu menyediakan perkhidmatan kesihatan yang baik sewaktu banjir melanda kerana aset seperti helikopter dan bot terpaksa dikongsi dengan agensi lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Kit Siang justeru menegaskan keperluan perisytiharan darurat yang menurutnya memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mengerahkan kesemua aset yang dimilki setiap agensi, terutamanya helikopter dan bot untuk masuk ke kawasan bencana.

“Kabinet harus mengkaji semula persoalan kenapa darurat tidak diisytihar ke atas bencana banjir terburuk dalam sejarah.

“Perdana Menteri mesti memberi jaminan bahawa jika bencana seperti itu terjadi lagi, Kerajaan Persekutuan tidak akan gagal untuk mengisytiharkan darurat,” tegasnya.

Perisytiharan darurat dalam keadaan bencana adalah penting katanya bagi memobilisasikan seluruh sumber-sumber negara, terutamanya angkatan tentera seramai 150,000 orang untuk memberikan bantuan pantas kepada mangsa. – Roketkini.com