Berita

Mesyuarat Kabinet perlu setuju struktur semula Belanjawan 2015

KUALA LUMPUP, 13 JAN: Mesyuarat Kabinet esok harus bersetuju mengadakan sidang Parlimen akhir bulan ini untuk membentangkan penstrukturan semula Belanjawan 2015. kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Kata Kit Siang, ini kerana belanjawan 2015 yang dirangka OKtober tahun lalu berasaskan anggapan harga minyak pada kadar USD100 (RM357) setong.

“Dengan kejatuhan harga minyak mentah, kerajaan bertanggungjawab menstruktur semula Belanjawan 2015 dan mendapatkan persetujuan Parlimen.

“Kabinet mesti membuat keputusan untuk mengadakan Parlimen Khas sebelum akhir Januari, memandangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan mengakui hari ini keperluan menstruktur semula Belanjawan 2015,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Semenjak Najib membentangkan Belanjawan 2015 pada 25 Oktober, harga minyak mentah Brent merudum daripada USD100 kepada USD47.36, nilai terendah dalam enam tahun.

Manakala, pendapatan berasaskan minyak dan gas adalah tulang belakang ekonomi negara, dan setakat ini menyumbang 30 peratus kepada hasil negara.

Dalam masa sama, ringgit mencecah kadar terendah sejak Julai 2009 berbanding dolar, pada kadar 3.5870 berbanding dolar petang ini selain kejatuhan RM36 bilion rizab antarabangsa Malaysia pada tahun 2014.

Tambah Kit Siang, Belanjawan 2015 sebanyak RM273.9 bilion jelas tidak mampan hasil kejatuhan komoditi bukan sahaja petrol, bahkan minyak sawit dan getah.

“Pakar-pakar ekonomi turut memberi amaran bahawa Malaysia mungkin berhadapan deflasi,” ujar Kit Siang.

Tambahnya, sidang khas Parlimen wajar membahaskan bencana banjir, Laporan RCI Sabah, aliran keluar modal haram RM1.3 trilion (2003 hingga 2012) selain menangani ekstremisme dalam masyarakat. – Roketkini.com