Berita

GHAH: Eric kritik agensi, bukan kritik agama

KUALA LUMPUR, 13 JAN: Kritikan pengasas Lawyers for Liberty (LFL) Eric Paulsen ditujukan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai sebuah agensi kerajaan.

Gerakan Hapuskan Akta Hasutan (GHAH) dalam satu kenyataan menjelaskan, harus ada perbezaan antara agama dan agensi yang mengurus hal ehwal agama.

“Eric telah menjelaskan kepada umum yang dia tidak bermaksud menghina Islam dalam akaun twitternya.

“Mengkritik JAKIM tidak boleh disamakan dengan mengkritik Islam.

“Dalam masyarakat demokratik, semua warga mempunyai hak dan tanggungjawab untuk menyertai wacana umum, dan kebebasan bersuara adalah intipati dalam setiap wacana.

“Ini bermaksud semua orang boleh mengkritik dan mempersoal setiap tindakan badan kerajaan yang didanai rakyat melalui cukai yang dibayar,” kenyataan GHAH dipetik.

Dalam pada itu GHAH turut mengutuk tindakan polis menggunakan 20 anggotanya untuk menahan Eric, yang disifatkan sebagai tindakan salah guna kuasa.

“GHAH sangat kesal dengan cara Ketua Polis Negara sanggup mengerah kekuatan besar di samping menggunakan twitter untuk mengumumkan penangkapan Eric.

“Ini boleh ditafsirkan sebagai helah politik yang terancang,” ujar gerakan itu bahawa Akta Hasutan adalah undang-undang yang tidak relevan dalam masyarakat moden hari ini.

Ujar GHAH, adalah suatu khayalan kepada mereka yang masih percaya bahawa Akta Hasutan adalah jawapan untuk kestabilan, keamanan dan keharmonian negara.

“Sedangkan ia digunakan secara meluas terhadap individu yang mengkritik, hanya kerana mengambil berat tentang negaranya.

“Kami menyeru Eric Paulsen dilepaskan serta-merta dan gugurkan semua tuduhan terhadapnya.

“Kami juga menyeru agar kerajaan mansuhkan Akta Hasutan, menggugurkan semua dakwaan di bawah Akta itu dan tidak ganti dengan akta drakonian baru,” tegas GHAH. – Roketkini.com