Berita

CEO 1MDB dicadang beri keterangan kepada PAC

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kandasamy perlu memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pelaburan syarikat itu jika benar bersih dan telus seperti didakwanya.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, ia perlu dibuat memandangkan ‘penelitian awam mengenai 1MDB merupakan perkara yang baik’, dan Arul perlu menawarkan diri menjelaskan kepada PAC bagi ‘mengukuhkan syarikat dan urusan pentadbirannya’.

“Bagi mengelak dari sebarang tuduhan kononnya saya mempunyai agenda politik bertujuan memutarbelit dan memanipulasi 1MDB, lebih baik Arul memberi keterangan kepada PAC.

“PAC terdiri daripada tujuh pemimpin BN dan lima Pakatan Rakyat, wakil yang dilantik ini tidak boleh dituduh berat sebelah serta dilihat lebih adil,” kata Tony dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegasnya, penjelasan dan pertemuan bersama PAC penting bagi menjawab pelbagai penyelewengan 1MDB supaya rakyat Malaysia mendapat maklumat penuh mengenainya.

Media semalam melaporkan bahawa Arul menawarkan diri untuk bersemuka dengan Tony bagi mendapatkan maklumat mengenai dana 1MDB yang menanggung beban hutang berbilion ringgit.

Arul juga mendakwa pengkritik 1MDB termasuk Tony sebenarnya ‘didorong unsur politik berbanding pertimbangan perniagaan yang tulen’.

Namun menurut Tony, Arul dalam kenyataannya semalam jelas tidak memberikan sebarang jawapan berhubung isu yang dibangkitkan tapi hanya mempertahankan syarikatnya secara membuta tuli.

Jelasnya, Arul seharusnya memberikan jawapan berhubung dana RM8.24 bilion di Kepulauan Cayman yang kononnya sudah ditebus seperti didakwa CEO baru 1MDB itu.

“Arul harus menyatakan berapa jumlah sebenar yang diterima 1MDB secara tunai.

“Pendedahan dan pengesahan memberi kesan baik bagi membuka rahsia yang cuba disembunyikan berhubung tindakan misteri 1MDB sepanjang lima tahun lalu,” tegasnya.

Dalam pada itu, Bloomberg melaporkan melaporkan bahawa rancangan 1MDB untuk melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) unit tenaganya akan ditangguh memandangkan syarikat itu kini berada dalam proses menyelesaikan pembayaran hutang.

Menurut Bloomberg, IPO tersebut yang sepatutnya dilancarkan pada awal April ini akan ditangguh ke separuh kedua tahun yang sama.

IPO unit tenaga 1MDB itu dikatakan mampu meraih dana sehingga AS$3 bilion (RM10.5 bilion) dan menjadi satu daripada IPO terbesar dilancarkan di Malaysia selepas Felda Global Ventures Holdings Bhd. yang disenaraikan pada 2012. – Roketkini.com