Berita

Penstrukturan Belanjawan: DAP desak Najib adakan sidang Parlimen Khas segera

KUALA LUMPUR, 18 JAN: DAP mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak segera memanggil sidang Parlimen Khas dalam tempoh 48 jam sebelum mengumumkan penstrukturan semula Belanjawan 2015, 20 Januari ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, keengganan untuk memanggil sidang Parlimen Khas seolah-olah penghinaan kepada Parlimen yang meluluskan Belanjawan asal tersebut pada 25 November lalu.

“Sidang Parlimen Khas adalah penting dan perlu dibuat segera kerana selain menyemak Belanjawan 2015, banyak isu-isu yang dihadapi negara harus ditangani.

“Masih belum terlambat untuk Najib memanggil sidang Parlimen Khas kerana ia masih boleh diadakan walaupun dalam tempoh 48 jam.

“Jika tidak, Najib bukan saja menghina Parlimen tetapi melanggar prinsip demokrasi berparlimen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu menegaskan, beliau tidak memahami mengapa Najib begitu berdegil tidak mahu memanggil sidang khas sedang Parlimen yang meluluskan Belanjawan 2015 yang brrjumlah RM273.9 bilion.

Menurut Kit Siang, terdapat banyak isu-isu penting yang perlu ditangani seperti bencana banjir terburuk dalam sejarah negara serta kegagalan pengurusan bantuan oleh Majlis Keselamatan negara serta Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Pendatang Tanpa Izin (PATI) Sabah.

Katanya, dua isu penting lainnya pula adalah aliran keluar wang haram yang mencecah RM1.3 trilion dari 2003 hingga 2012 dan keperluan mendesak ke arah kesederhanaan tanpa mengira kaum, agama, kawasan atau politik supaya dapat bersatu serta menolak politik kebencian, ketaksuban dan ekstremisme. -Roketkini.com