Berita

Dedah rahsia sulit negara, KPN perlu siasat Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 20 JAN: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar perlu membuat laporan dan mengarahkan anggotanya menyiasat Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Biro Guaman DAP Gobind Singh Deo berkata, langkah tersebut perlu dibuat berikutan tindakan Zahid mempertahankan raja judi Paul Phua dan mendedahkan rahsia Malaysia kepada negara luar.

Zahid sebelum ini menyatakan Phua banyak membantu kerajaan tapi beliau tidak boleh mendedahkan perkara tersebut kerana ia melibatkan ‘rahsia besar’.

“Ini bermakna suratnya kepada FBI yang mendedah butiran seperti identiti dan fakta bahawa Phua berperanan penting serta membantu Malaysia dalam projek keselamatan negara itu boleh menjadi kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

“Lebih buruk, Zahid langsung tidak berunding dengan polis atau Peguam Negara sebelum menulis surat tersebut,” kata Gobind dalam satu kenyataan.

Tambahnya, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya seseorang menggunakan sesuatu rahsia rasmi di bawah kuasanya untuk faedah negara asing kerana boleh memudaratkan keselamatan atau kepentingan negara

“Nampaknya OSA cukup luas untuk mencakupi perkara ini,” ujar Gobind.

Tambahnya, kebelakangan ini Khalid begitu pantas mengarahkan siasatan terhadap beberapa individu dan wajar menunjukkan semangat sama dalam isu ini.

“Sebab itu, Khalid tidak boleh mendiamkan diri dan perlu mengarahkan siasatan segera dibuat ke atas Zahid,” tambahnya.

Bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar dan Tan Sri Rahim Noor dilaporkan secara terbuka menyatakan kebimbangan terhadap surat Zahid kepada FBI. – Roketkini.com.