Berita

1MDB antara punca utama ringgit semakin lemah, kata pakar

PETALING JAYA, 20 JAN: Selain tidak melibatkan ahli parlimen dalam penstrukturan semula Belanjawan 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut menyembunyikan kelemahan sendiri dengan menyalahkan situasi ekonomi global.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, tindakan Najib menyalahkan penurunan harga minyak mentah dunia seperti ‘tidak menghiraukan gajah di depan mata’.

“Fakta bahawa kerajaan Pusat menambah hutang negara sehingga RM569 bilion gagal dilihat Najib,” kata Tony dalam satu kenyataan.

“Pada Jun 2014 sahaja warga asing memegang 30.3 peratus ringgit, bon dan saham-saham dolar Amerika yang diberi kerajaan, mendedahkan Malaysia kepada kancah turun naik kewangan global.

“Jualan pegangan saham luar kerana hutang kerajaan dan sektor swasta menjadi salah satu punca penurunan mendadak nilai ringgit sejak 60 hari lalu,” ujar Tony.

Najib hari ini mengumumkan penstrukturan semula Belanjawan 2015 di samping berulang kali menyatakan bahawa ‘Malaysia tidak berada dalam krisis’.

Dalam masa sama, 1Malaysia Development Board (1MDB) turut dilihat sebagai salah salah satu dari punca utama kelemahan ringgit.

Najib yang juga Menteri Kewangan gagal menangani kebimbangan komuniti kewangan tempatan dan antarabangsa terhadap hutang RM 42 bilion dimiliki 1MDB.

“1MDB tak mampu bayar semula pinjaman RM2 bilion pada November 2014, memberi kesan kepada bon 1MDB di samping meningkatkan kerisauan pelabur terhadap ekonomi Malaysia,” ujar Tony.

Beliau memetik pandangan Ellian Wiranto, pakar ekonomi Bank OCBC Singapura seperti dilaporkan Reuters, yang menyatakan kebimbangan sama ada liabiliti tersebut akan ditanggung kerajaan.

Pandangan itu dikongsi bersama pakar ekonomi Bank Amerika Merrill Lynch yang berpangkalan di Singapura, Chua Hak Bin seperti dilaporkan Bloomberg.

“Kejatuhan harga minyak menimbulkan kebimbangan kedudukan fiskal 1MDB yang boleh memburukkan kedudukan ringgit dan kadar faedah,” kenyataan ahli ekonomi itu dipetik.

Dalam pada itu Najib diselar kerana mengumumkan perkembangan ekonomi negara di Putrajaya di hadapan tetamu undangan antaranya diplomat, pemimpin perniagaan, NGO dan anggota parlimen BN.

Kata Tony tindakan meminggirkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu dilihat menghina institusi Parlimen.

“Ini benar-benar membuktikan penghinaan kerajaan BN terhadap institusi Parlimen, dengan peranan mereka hanya sebagai ‘rubber stamp’ kepada keputusan diktator,” sindir Tony – Roketkini.com