Berita

DAP Sabah bantah kerajaan negeri perkenal cukai jualan eksport makanan laut

TAWAU, 21 JAN: DAP Sabah mengkritik pelaksanaan mengejut cukai jualan untuk eksport makanan laut di negeri itu sedangkan ia tidak pernah dibentangkan dalam perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Adun Sri Tanjong Chan Foong Hin berkata, tindakan itu bukan sahaja menyusahkan pengusaha industri malah merupakan penganiayaan kepada mereka.

“Semasa sidang DUN Sabah November lalu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hanya menyatakan bahawa cukai akan dikenakan terhadap eksport makanan laut tahun ini tapi beliau tidak menyebut berapa banyak levi dan bila ia akan dimulakan.

“Tidak ada sebarang perkara yang diluluskan sidang DUN lalu termasuk perintah Cukai Jualan Negeri.

“Musa dan kerajaan Negeri tidak boleh beranggapan enakmen Cukai Jualan Negeri telah dikuatkuasakan tanpa sebarang perbahasan dibuat mengenainya,” katanya.

Beliau juga menyarankan kerajaan negeri agar mengadakan pertemuan terlebih dulu dengan pihak berkepentingan bagi membincangkan pelaksanaannya.

Menurut Foong Hin, beberapa individu yang terlibat dalam industri makanan laut juga dipaksa Jabatan Kastam untuk mengisi Borang 1 ‘Permohonan Untuk Mendapatkan Lesen Sebagai Orang Yang Kena Membayar Cukai di bawah Peraturan-Peraturan Cukai Jualan Negeri 1998, Peraturan 4(1).

Katanya, perintah tersebut diterima minggu lalu tanpa sebarang notis awal, dan semua makanan laut walaupun dieksport pada 1 Januari tetap akan dikenakan cukai.

“Menerusi lembaran (paper) yang diterima, tertera bahawa kuasa mengenakan cukai itu diberikan melalui subseksyen 6(1) Enakmen Cukai Jualan Negeri dengan perintah Menteri Kewangan (Negeri).

“Lembaran itu menyebut cukai 5 peratus dikenakan ke atas penjualan melibatkan ikan laut, ikan air tawar, krustasia, moluska, tumbuhan akuatik termasuk rumpai laut, invertebrata akuatik sama ada secara langsung, segar dan sejuk beku untuk dibawa keluar dari Sabah.

“Lembaran bertarikh 5 November tahun lalu ditandatangani oleh Musa Aman sebagai Menteri Kewangan mempunyai nota kaki menyatakan ‘akan dibentangkan di sidang DUN menurut subseksyen 6 (3) Cukai Jualan Negeri 1998’,” ujar Foong Hin.

Dalam pada itu , cadangan cukai jualan itu secara tidak langsung bercanggah dengan pengumuman Kerajaan bahawa tidak ada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi eksport perikanan.

“Persoalannya, mengapa kerajaan negeri Sabah mewujudkan cukai jualan terhadap eksport makanan laut? soal Foong Hin. – Roketkini.com