Berita

Perayaan Thaipusam, peringatan tolak ekstremisme agama dan perkauman

PULAU PINANG, 3 FEB: Masyarakat India diseru bekerjasama dengan warga Malaysia yang lain bagi memastikan hak asasi mereka terjamin di samping mengekang perkauman yang semakin berleluasa.

Dalam perutusan sambutan hari Thaipusam, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata penyertaan minoriti India dalam proses demokrasi adalah demi hak asasi, kebebasan berpolitik dan sivil serta kepentingan ekonomi semua warga terjamin.

“Namun, malang sekali ekstremis perkauman sekarang ini mendapat nama dengan mempersoalkan hak dan kebebasan kaum minoriti,” kata Guan Eng yang juga Setiusaha Agung DAP.

“Kerana itulah, perayaan Thaipusam sangat penting sebagai menunjukkan kesederhanaan kita dan menolak idea merbahaya yang diwakili oleh kumpulan ektremis agama dan perkauman ini,”katanya lagi.

Hari ini, Thaipusam dirayakan oleh sebahagian besar warga Malaysia beragama Hindu sewaktu bulan penuh mengikut kalendar Tamil (Thai) yang kebiasannya jatuh pada Januari atau Februari.

Thaipusam diraikan sebagai peringatan terhadap ‘kebaikan membunuh kejahatan’ dalam peristiwa Dewa Parvati memberikan ‘vel’ (tombak) kepada Dewa Murugan untuk membunuh syaitan bernama Soorapadman.

Dalam pada itu kata Guan Eng, Hak demokratik dan kedaulatan undang-undang adalah bahagian terpenting Perlembagaan Persekutuan yang mencerminkan cara hidup seluruh warga Malaysia.

“Pilihanraya kerajaan tempatan misalnya, suatu waktu dulu adalah proses demokrasi selama lapan tahun, sehingga ia diharamkan pada 1965.

“Menyedihkan sekali, pemimpin politik sekarang sangat jahil terhadap sejarah, logik, sebab dan hikmah sehingga sanggup menolaknya dengan mengatakan ia tidak demokratik,” kata Guan Eng.

Ujarnya, rakyat Malaysia telah menanggung kerugian akibat kehilangan RM 1.4 trilion dana yang keluar dari negara semenjak 2003.

Malaysia juga terpaksa membayar akibat kegagalan kepimpinannya dengan kenaikan hutang isi rumah Malaysia tertinggi di Asia seperti dinyatakan Bank Dunia iaitu sebanyak RM 854.3 bilion pada September 2014, berbanding RM 243.2 bilion pada 2002.

Justeru itu, Guan Eng menyeru rakyat Malaysia berhenti melihat masalah dari sudut agama dan kaum, sebaliknya kacamata prinsip dan dasar bagi mecari jalan keluar. – Roketkini.com