Berita

Amal ajaran Nazi, pemimpin UMNO kini percaya pada pembohongan sendiri – Tony Pua

PETALING JAYA, 4 MAC: Para pemimpin UMNO/BN kini mula percaya dengan pembohongan yang mereka sendiri ada-adakan kerana terlalu kerap menipu, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

“Pimpinan UMNO sudah banyak kali menipu sampai mereka sendiri percaya mitos dan fitnah dicipta mereka sendiri,” kata Tony.

Menurut beliau, pemimpin UMNO/BN kini mengamalkan ajaran Nazi Jerman yang dipelopori propagandis Nazi Dr Joseph Goebbels yang percaya bahawa “pembohongan yang besar dan kerap diulang lambat-laun akan dipercayai orang.”

Tony yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP hari ini menyelar tindakan Menteri Pertanian Ismail Sabri yang beberapa hari lalu membuat fitnah mengaitkan kaum Cina dengan kenaikan harga barang dan mengaitkan francais Old Town Kopitiam dengan Ahli Parlimen DAP Bruas Ngeh Koo Ham.

“[Padahal] bukannya susah untuk mengetahui siapa pemilik sebenar Old Town Kopitiam, khususnya kerana rangkaian kedai kopi itu kini adalah syarikat yang tersenarai di bursa saham.

“Bukti empirikal pula menunjukkan bahawa kenaikan harga barang berlaku setiap kali kos pengeluaran atau penghantaran meningkat, sama ada di kedai runcit, pasar tani, kedai kopi mahu pun kedai mamak.

“Peningkatan sedemikian adalah fenomena ekonomi yang biasa dan berlaku tanpa mengira kaum,” jelas Tony.

Zahid Hamidi antara yang mengamalkan ajaran Goebbels

Beliau juga menambah semua penipuan disebarkan UMNO sudah banyak kali dijawab, bahkan Zahid Hamidi sendiri pernah didapati bersalah oleh mahkamah kerana memfitnahnya terlibat dalam jenayah di Singapura.

“Zahid Hamidi fitnah dan tuduh kononnya saya didakwa di mahkamah jenayah Singapura, lebih teruk beliau kata saya lepaskan diri dari dakwaan itu kerana buat perjanjian dengan kerajaan Singapura.

“Dia kata, antara janjinya saya tak boleh jadi ahli parlimen Singapura dan disuruh balik Malaysia untuk menjalankan agenda Singapura,” ujar Tony.

Namun, Tony berkata cakap celupar dan fitnah Zahid Hamidi itu ditelan semula apabila terpaksa menarik balik tuduhan dan diarahkan membayar kos oleh mahkamah pada Ogos 2014. -Roketkini.com