Berita

Forum Roketkini esok, bincang isu pilihanraya kerajaan tempatan

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Isu kebertanggungjawaban pihak berkuasa tempatan kepada pembayar cukai adalah elemen yang memastikan kecekapan dan ketelusan perbelanjaan dalam menguruskan infrastruktur awam.

Namun, timbul pula hujah-hujah kononnya pilihanraya kerajaan tempatan akan menghakis kuasa Melayu, bahkan boleh menyebabkan insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 berulang kembali.

Walhal, Suruhanjaya Siasatan Diraja Athi Nahappan pada tahun 1968 yang menyediakan laporan mengenai pilihanraya kerajaan tempatan turut mencadangkan supaya undi ketiga itu dikembalikan semula pelaksanaannya, namun cadangan ini tidak pun dilaksanakan kerajaan.

Ini antara hujah kenapa Malaysia memerlukan pilihanraya kerajaan tempatan, di tengah-tengah perbahasan ramai mengenai keperluan mengembalikan hak demokratik yang telah dinafikan sejak 50 tahun lalu.

Justeru itu, wakil penganjur Izmil Amri, yang juga pembantu editor berita Roketkini.com dalam kenyataannya menjelaskan, forum ‘Benarkah pilihanraya kerajaan tempatan akan menghakis hak Melayu?’ adalah bagi merungkai kekeliruan tentang ‘undi ketiga’ dan mekanisme kerajaan tempatan,

Antara ahli panel yang hadir adalah Ahli Parlimen PAS Sepang Hanipa Maidin, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, dan Ahli Majlis MPPP Syerleena Rashid untuk menyatakan hujah masing-masing.

Ucaptama akan disampaikan oleh Ketua Parlimen DAP Sdr Lim Kit Siang dan program dijadualkan bermula pada jam 8.30 malam, pada hari Khamis 5 Februari 2015 bertempat di Mandarin Court Hotel, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur.

Masuk adalah percuma. Orang ramai dialu-alukan hadir. – Roketkini.com