Berita

Tweet fitnah, Kit Siang mula prosiding undang-undang terhadap blogger Umno

GELANG PATAH, 4 FEB: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang akan memulakan prosiding undang-undang terhadap blogger Umno Syed Akbar Ali atas tweet fitnah yang mendakwanya komunis, bersikap perkauman yang anti-Melayu dan menyebabkan tercetusnya rushan kaum 13 Mei.

“Saya telah mengarahkan peguam-peguam saya memulakan prosiding sivil dan jenayah terhadap blogger Umno Syed Akbar Ali berkenaan tweet fitnah beliau lewat malam semalam yang mendakwa saya komunis, bersikap perkauman yang anti-Melayu dan menyebabkan tercetusnya pergaduhan kaum 13 Mei,” kata Kit Siang dalam satu kenyataan.

Menurut Kit Siang, tweet Syed Akhbar turut memuatkan grafik menunjukkannya berpakaian ala Mao Tse Tung, mendakwanya ‘Bapa 13 Mei’ selain tuduhan menjadi pencetus rusuhan kaum 13 Mei 1969.

Tweet Syed Akbar Ali itu turut memaparkan kenyataan slogan anti Melayu kononnya daripada Kit Siang dengan kapsyen bertulis: “Melayu keluar! Apa lagi duduk sini, Kita hentam Lu, sekarang kita sudah ada kuasa” Lim KIt Siang (Bapa 13 Mei)

Grafik dikongsikan dalam tweet Syed Akbar mendakwa Kit Siang membuat kenyataan-kenyataan, di masa dan tempat seperti berikut:

1. Menggunakan slogan “Malai-Si” bermaksud “Mati Melayu”.

2. “Apa polis boleh buat, kita Raja. Buang sama polis Melayu.”
– (11 Mei 69, Bukit Bintang)

3. “Mati Melayu, sakai pergi masuk hutan”.
– (11 Mei 69, Jalan Bukit Bintang).

4. “KL sekarang cina punya”.
– (11 Mei 69, Jalan Changkat Dollah)

5. “Melayu balik kampung, melayu sekarang tiada kuasa. Sekarang kita Cina sudah control.”
– (12 Mei 69, Jalan Tunku Abdul Rahman)

6. “Melayu keluar…! Apa lagi duduk sini, kita hentam lu, sekarang kita sudah ada kuasa…”
– (12 Mei 69, Jalan Khir Kampung Baru)

7. “…semua Melayu kasi habis, kasi halau semua polis.”
– (12 Mei 69, depan Balai Polis, Jalan Pudu)

8. “Apa ini Melayu, kita sudah perintah dia negeri, ini negeri bukan melayu punya, mata-mata lancau…!”
– (12 Mei 1969)

9. “Butuh Melayu, Malai si, pergi mati Melayu…”
– (12 Mi 69, Jalan Canvel).

10. “Ini negeri bukan Melayu punya, kita mahu kasi halau semua Melayu”
– (12 Mei 69, Jalan Bukit Bintang).

Tegas Kit Siang, ayat-akat tersebut merupakan pembohongan jahat.

“Bukan sahaja saya tidak pernah menyebut semua ini, malah perkataan ini semua tergolong dalam kategori yang tidak pernah saya gunakan sepanjang hidup.

“Saya juga tidak berada di Kuala Lumpur pada 11 hingga 13 Mei 1969 ketika rusuhan 13 Mei, dan ini boleh dibuktikan oleh Cawangan Khas melalui rekod mereka.

“Retorik kebencian, intoleransi, kefanatikan dan ekstremisme berasaskan pembohongan dan kepalsuan semakin menjadi-jadi akhir-akhir ini.

“Saya menyeru semua rakyat Malaysia yang moderat dan patriotik untuk bersatu dan mengatakan TIDAK kepada ekstremisme dan tidak bertoleransi dengan politik pembohongan dan kebencian,” kata Kit Siang. – Roketkini.com