Berita

Kita perlu kepimpinan berteladan Tunku dan Pak Samad, kata Kit Siang

KUALA LUMPUR, 7 FEB: Sikap pimpinan UMNO-Barisan Nasional yang selalu mencetus ribut kontroversi perkauman dan agama perlu ditangani dengan sikap kepimpinan berteladan seperti yang ditunjukkan oleh negarawan Tunku Abdul Rahman dan sasterawan A. Samad Said.

Ketua Ahli Parlimen DAP Lim Kit Siang menyifatkan dua tokoh itu sebagai ‘quintessential leaders’ (pemimpin yang mewakili sifat berteladan unggul) dalam forum anjuran Roketkini.com hari ini.

“Tunku Abdul Rahman dan Pak Samad betul-betul sebuah lambang kepimpinan berteladan untuk seluruh rakyat Malaysia.

“Lebih-lebih lagi Malaysia sekarang ribut dengan masalah perkauman dan ektremis agama,”ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Forum bertajuk ‘Tunku dan Pak Samad; Mengenang Negarawan, Meraikan Sasterawan’ dianjurkan Roketkini.com bagi mengenang tarikh lahir dua tokoh itu yang ditakdirkan berkongsi 8 Februari walau pada tahun yang berbeza. Tunku lahir tahun 1903 manakala Samad 1932.

Sasterawan Negara itu yang lebih dikenali sebagai Pak Samad adalah tokoh sasterawan dan pergerakan sivil di Malaysia apabila mengimbil peranan utama dalam Gerakan BERSIH 2.0 yang memperjuangkan pilihanraya bersih dan adil.

Beliau juga adalah pengasas Gabungan NGO Negara-Ku yang ingin menghapuskan politik berasaskan etnik, kaum dan kelompok yang menggugat pembentukan bangsa Malaysia.

Mengenang tempoh pemerintahan Tunku, Kit Siang turut menghimbau kenangan bergaul dengan perdana menteri yang pertama itu yang disifatkannya sebagai negarawan yang senang didekati dan penuh sifat kemanusiaan.

“Tunku contohnya sangat suka bercanda, sifat ramahnya sangat jelas dengan keceriaan yang selalu ditunjukkannya.

“Dia adalah Perdana Menteri paling gembira sepanjang sejarah Malaysia.

“Ini adalah kerana Malaysia pada waktu pemerintahannya mempunyai satu keharmonian semua rakyat berbilang kaum dan agama,” ujarnya lagi.- Roketkini.com