Berita

Anwar masih Ketua Pembangkang – Guan Eng

GEORGE TOWN, 11 FEB – Bagi DAP, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih lagi merupakan Ahli Parlimen Permatang Pauh dan juga Ketua Pembangkang, sekurang-kurangnya untuk 14 hari lagi.

Perkara 48(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut bahawa seseorang Ahli Parlimen tidak hilang kelayakan sehingga larut tempoh 14 hari daripada tarikh dijatuhkan hukuman.

Malah, tempoh tersebut boleh dilanjutkan lagi sekiranya Anwar memohon ampun daripada pihak Yang Di Pertuan Agong.

Pendirian tersebut dinyatakan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan mematahkan spekulasi ramai pihak kononnya wujud perebutan terhadap jawatan Ketua Pembangkang Parlimen.

Menurutnya perkara tersebut tidak seharusnya timbul dan bagi DAP, dan Anwar masih lagi merupakan Ketua Pembangkang.

“Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang ingin menyatakan perasaan kecewa, dukacita dan hampa terhadap keputusan yang dijatuhkan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Belie adalah seorang pemimpin dan juga wakil rakyat anak negeri Pulau Pinang yang telah mengharumkan nama Pulau Pinang atas kewibawaan dan kepimpinan beliau,” ujar Guan Eng yang juga Ketua Menteri negeri itu.

Guan Eng turut mengikrarkan kesetiaan bersama Anwar dan meneruskan perjuangan sehingga beliau dibebaskan dari penjara.

Beliau menepis spekulasi media mengenai isu menggantikan Ketua Pembangkang, serta menegaskan bahawa sebarang maklumat yang diperolehi media daripada sumber yang tidak dinamakan seharusnya diperiksa terlebih dahulu dengannya sebagai Setiausaha Agung DAP.

“Sekiranya Datuk Seri Anwar tidak mahu memohon pengampunan, beliau masih ahli parlimen untuk 14 hari ini. Beliau masih Ketua Pembangkang,” tegas Guan Eng.

Menurutnya lagi, sekarang bukanlah masa untuk berspekulasi, termasuklah mengenai pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh.

“Kita bincang tentang ini apabila Speaker telah keluarkan surat mengisytiharkan kerusi tersebut kosong,” katanya menjawab soalan wartawan, sambil berkata bahawa pihak Pakatan Rakyat bersedia untuk berhadapan dengan cabaran mendatang.

Beliau membangkitkan peruntukan Perkara 48(4) kerana turut pernah dipenjarakan di bawah Akta Hasutan pada tahun 1998, dan kekal menjadi ahli parlimen selama satu tahun sementara menunggu petisyen pengampunan kepada Yang di Pertua Negeri Melaka selesai.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang turut merakamkan rasa simpati buat ahli keluarga Anwar yang terpaksa menghadapi cabaran begitu besar ini.

“Khususnya kepada Kak Wan (Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail), sekarang PKR akan bergantung kepadanya sebagai Presiden,” tambah Guan Eng lagi. – Roketkini.com