Berita

“Saya hanya pertahankan hak wanita dan tidak pernah menentang pihak berkuasa agama” – Chong Eng

GEORGE TOWN, 11 FEB: Ketua Wanita DAP Chong Eng hari ini menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa beliau telah menyentuh dan mencampuri urusan agama Islam.

Chong Eng menegaskan, tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali kerana apa yang beliau mempersoalkan bukanlah Islam tapi tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang mengaitkan cara berpakaian sebagai punca berlakunya kes rogol.

“Saya telah mengemukakan bukti kukuh dalam kenyataan saya baru-baru seperti dalam kes Noor Suzaily Mukhtar yang dirogol dalam bas pada tahun 2000 dan beliau memakai skirt panjang serta tudung.

“Data juga menunjukkan bahawa 50 peratus mangsa rogol adalah kanak-kanak berumur 16 tahun ke bawah.

“Jadi, apa yang ingin saya nyatakan punca utama kes rogol adalah hubungan kuasa yang tidak seimbang dan bukannya bagaimana seseorang individu itu berpakaian. Itu yang saya persoalkan.

“Saya langsung tidak pernah menyentuh soal sama ada agama patut atau tidak patut. Saya menghormati setiap pilihan seseorang wanita,” katanya dalam sidang media di Komtar.

Difahamkan, semasa sidang media sedang berjalan untuk Chong Eng memberikan penjelasan, pihak polis telah pun menunggu beliau di luar Komtar.

Dalam sidang media sama, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menyatakan, Chong Eng langsung tidak menyentuh atau mempersoalkan tentang ‘tutup aurat’ kerana ia merupakan hak dalam agama Islam.

“Beliau cuma tidak bersetuju dengan pandangan bahawa jika seseorang itu tidak menutup aurat kejadian rogol akan berlaku, kerana individu yang menutup aurat juga menjadi mangsa dalam kes ini.

“Kami mengambil keputusan untuk memberikan sokongan kepada beliau. Beliau sebenarnya mempertahankan hak wanita dan bukannya menentang pihak berkuasa agama.

“Kita harus ingat orang yang sepatutnya dipersalahkan bukanlah mangsa rogol tapi perogol itu sendiri,” tegasnya.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menerusi status akaun Twitternya pada 9 Februari berkata, Chong Eng akan disiasat di bawah Seksyen 298 Akta Kanun Keseksaan. -Roketkini.com