Berita

Audit 1MDB: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) diminta turut panggil KPMG

PETALING JAYA, 16 FEB: Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua hari ini mencadangkan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil bukan saja firma audit Deloitte Malaysia tetapi juga firma KPMG untuk menjelaskan kedudukan kewangan 1MDB.

Menurut Tony, kewangan 1MDB yang tidak stabil telah menyebabkan Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan memanggil juruaudit luar 1MDB Deloitte Malaysia. Tindakan ini menurutnya adalah langkah bijak.

“Ini adalah langkah yang sangat bijak oleh pengerusi PAC, kerana ia akan menjelaskan masalah kecairan 1MDB.

“Ia juga akan dilihat dapat memastikan semua jawapan yang diberi oleh 1MDB kepada PAC akan dapat disahkan oleh juruaudit bebas mereka,” ulas Tony.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu mempersoalkan tindakan Deloitte Malaysia yang memberikan jaminan bahawa syarikat dana kerajaan itu berada dalam keadaan yang baik pada 3 November 2014.

“Bagaimana Deloitte Malaysia boleh kata 1MDB dalam keadaan baik tetapi setelah itu secara tiba-tiba dilanda masalah kecairan?

“Menurut laporan, 1MDB mempunyai baki tunai bank sebanyak RM 3.85 bilion sementara syarikat itu kononnya telah menebus kembali pelaburan mereka di Pulau Cayman sebanyak RM 3.9 bilion(USD1.1 bilion).

“Setakat ini, 1MDB tak mampu membayar semula pinjaman-pinjamannya setelah 30 hari Laporan Audit dikeluarkan. Saya pasti PAC mesti berminat hendak tahu ke mana semua wang itu pergi,” ujar Tony.

Dalam pendedahan terbaru oleh Sarawak Post, 1MDB telah memadamkan rekod sejarah data dan komunikasi emel dari komputer pribadi dan telefon pintar pekerja-pekerja mereka serta emel pelayan sistem mereka, membuatkan lebih banyak persoalan tertumpu kepada syarikat kontroversi itu.

“Jika laporan Sarawak Post itu benar, dan tidak dinafikan 1MDB, rekod-rekod yang dipegang oleh juruaudit pastilah berada dalam kedudukan kritikal dalam menilai keadaan sebenar syarikat.

“Testimoni juruaudit sangat penting kebih-lebih lagi untuk pendedahan sebenar di belakang hutang terkumpul sebanyak RM 42 bilion.

Justeru itu, Tony mencadangkan agar PAC agar memanggil kedua-dua firma audit Deloitte Malaysia dan bekas firma audit 1MDB sebelumnya KPMG Transaction Restructuring Sdn Bhd (KPMG).

“KPMG mengaudit 1MDB untuk tahun kewangan dari 2010 sehingga 2013. Waktu itulah banyak isu yang timbul. Namun mereka tetap mengatakan 1MDB berada dalam keadaan baik.

“Sebenarnya, tahun-tahun itulah 1MDB mula melabur dengan satu syarikat Timur Tengah yang tidak diketahui asal-usulnya iaitu Petrosaudi International sebelum dana-dana telah dipindahkan secara misteri di Pulau Cayman.

“KPMG harus dipanggil untuk menjelaskan kepada PAC kenapa mereka meletakkan jawatan mereka sebagai auditor pada akhir tahun 2013,” ujar Tony.-Roketkini.com