Berita

Penutupan loji Sungai Semenyih: Selangor akan adakan pendengaran minggu depan

SHAH ALAM, 17 FEB: Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Mentah Selangor akan mengadakan pendengaran minggu depan untuk menyiasat penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang disebabkan masalah pencemaran, kata ADUN Damansara Utama Yeo Bee Yin.

Bee Yin yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa itu menyatakan, siasatan perlu dijalankan kerana penutupan tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan air selama lebih daripada 450,000 isi rumah di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

“Kami benar-benar berasa kecewa dengan penutupan serta-merta LRA Sungai Semenyih berikutan masalah pencemaran ammnonia dan mangan.

“Pencemaran air sungai yang menyebabkan penutupan LRA ini tidak boleh diterima kerana ia sudah kerap kali berlaku di Selangor.

“Oleh itu, Jawatankuasa akan menjalankan pendengaran rasmi minggu depan dan memanggil semua agensi berkaitan termasuk operator LRA Sungai Semenyih, Konsortium ABBAS, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar dan Syabas,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegas Bee Yin lagi, beliau dan pihak jawatankuasa juga akan mengadakan pendengaran formal dan melakukan siasatan bagi setiap gangguan air pada masa akan datang.

“Kami akan menyiasat dan mengumumkan senarai mereka-mereka yang bertanggungjawab untuk setiap masalah gangguan air utama.

“Tindakan serius akan diambil terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak cekap dalam permasalahan ini,” tegasnya. -Roketkini.com