Berita

DAPSY seru semua anak muda turun himpunan Mac depan

BENTONG, 17 FEB: Pemuda DAP (DAPSY) menyeru seluruh anak muda yang cintakan tanah air agar menggembeling tenaga dan turun beramai-ramai dalam himpunan Reformasi pada 7 dan 8 Mac akan datang.

Pengarah Hal Ehwal Varsiti DAPSY Chow Yu Hui berkata, pihaknya menyokong penuh usaha Resolusi Anak Muda Malaysia dan akan menggerakkan seluruh ahli bagi menjayakan himpunan yang bakal berlangsung di Sogo nanti.

“DAPSY menyokong penuh Resolusi Anak Muda Malaysia atas sebab 52 peratus undi popular yang dimenangi Pakatan Rakyat tidak dapat mengembalikan keadilan dan kesaksamaan untuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Jadi, jalanraya merupakan tempat di mana rakyat menunjukkan perasaan kemarahaan terhadap pemerintah.

“Himpunan ini juga akan menunjukkan kezaliman UMNO-BN kepada seluruh dunia bagi menuntut kebebasan dan keadian bukan saja kepada Anwar tapi dalam usaha mereformasikan sistem kehakiman negara bagi menjamin kebebasan serta kewibawaan institusi itu,” kata ADUN Bilut itu dalam satu kenyataan.

Dua hari lalu, Gabungan Anak Muda Malaysia ‘Kita Lawan’ yang terdiri dari sekumpulan anak muda pelbagai latar belakang termasuk parti politik, NGO, profesional dan aktivis telah merancang untuk mengadakan himpunan rakyat besar-besaran awal Mac nanti.

Ketua Angkatan Muda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang mewakili gabungan tersebut menyatakan, keputusan itu dibuat berikutan tindakan UMNO-BN yang telah menyalahgunakan jentera kerajaan dan memusnahkan keyakinan anak muda terhadap sistem kehakiman negara.

Katanya, ‘Kita Lawan’ mengemukakan empat tuntutan pada himpunan bulan depan antaranya menuntut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan dengan segera kerana didapati terlibat dalam konspirasi politik perbicaraan kes Anwar.

Sehubungan itu, ‘Kita Lawan’ menggesa semua pemimpin Pakatan Rakyat yang berjawatan dan telah mendapat mandat pada Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 lalu supaya turun bersama ke himpunan bulan depan. -Roketkini.com