Berita

“Memang tiada diskaun untuk rumah mampu milik di seluruh negara”

GEORGE TOWN, 25 FEB: Exco Jawatankuasa Perumahan dan Perancangan Bandar Kerajaan Negeri Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo menyanggah tuduhan melulu UMNO bahawa pihaknya menghapuskan diskaun lima peratus lot rumah mampu milik kepada golongan bumiputera.

Jagdeep berkata, amalan hasil dasar kerajaan pusat itu sememangnya sudah lama dipakai dan kerajaan negeri hanya mematuhi arahan seperti yang ditetapkan, sekaligus dakwaan ‘menghapuskan’ adalah mengarut sama sekali.

“Memang sudah menjadi amalan, tiada diskaun lima peratus selama ini.

“Jadi surat yang dirujuk media daripada Jabatan Setiausaha Kerajaan kepada PBT iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) adalah mengulas amalan tidak ada pemberian diskaun 5 peratus tersebut kepada kategori perumahan yang harganya telah ditetapkan seperti kos rendah, sederhana rendah serta mampu milik.

“Amalan dari kerajaan pusat ini dipakai di seluruh negeri lain,” katanya dalam sidang media di Komtar.

Pemuda UMNO Pulau Pinang semalam menuduh kerajaan negeri tidak menghormati bumiputera dengan menghapuskan diskaun lima peratus bagi lot rumah mampu milik.

Ketuanya, Rafizal Abdul Rahim mendakwa tindakan itu akan menyebabkan golongan berpendapatan sederhana dan rendah tidak lagi mampu untuk memiliki rumah.

Kerajaan Negeri sebelum ini pada 23 Februari lalu, telah mengeluarkan surat kepada Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk menyatakan mengenai perkara ini. – Roketkini.com