Berita

MB Perak diminta jelaskan cadangan penjualan aset negeri kepada TNB

IPOH, 3 MAC: Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Kadir digesa menjelaskan langkah Integrax Bhd, syarikat milikan Perak Corporation Berhad (PCB) yang menerima tawaran belian saham dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada harga yang lebih rendah.

Menurut ADUN Pasir Pinji Howard Lee, Ketua Pegawai Eksekutif PCB Datuk Aminuddin Md Desa telah mencadangkan kepada pemegang saham PCB untuk menerima tawaran belian saham dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan harga RM3.25 sesaham.

“Pengesyoran beliau bertentangan dengan kepentingan para pemegang saham PCB, memandangkan penasihat bebas telah menilaikan harga saham Integrax pada RM3.62 sesaham,” kata Howard dalam satu kenyataan.

PCB sebuah syarikat milikan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mempunyai saham sebanyak 15 peratus syarikat Integrax Bhd, yang mengawal Lumut Maritime Terminal (LMT) dan Lekir Bulk Terminal (LBT).

Manakala Lumut Maritime Terminal dan Lekir Bulk Terminal (LBT) merupakan aset strategik dan mustahak kepada kepentingan industri dan ekonomi negeri.

“Kerajaan negeri bergantung kepada sahamnya di Integrax untuk menyemak perkembangan dan pembangunan LMT and LBT.

“Sumbangan ekonomi dan potensi LBT dan LMT suatu aset yang bak kata pepatah, ‘angsa emas yang bertelur emas’, kata Howard.

Tambahnya, sekiranya PCB terjual kepada TNB, kerajaan negeri akan terlepas kawalan keatas semua perkara melibatkan LMT dan LBT;

Menurut Howard, dalam Belanjawan Perak 2013 lalu kerajaan negeri memberi komitmen untuk mewujudkan Pihak Berkuasa Pelabuhan Perak, namun malangnya masih belum dapat dilihat sehingga ke hari ini.

Justeru itu, beliau menyarankan pewujudan undang-undang peringkat negeri dan perkara berkaitan pelabuhan di seluruh negeri, selain menyemak semula pengumuman kerajaan negeri sebelum ini untuk menubuhkan Pihak Berkuasa Pelabuhan Perak.

Beliau turut menggesa Zambry atas kapasitinya dan bidang kuasa sebagai Pengerusi PKNP untuk mempengaruhi PCB supaya menolak tawaran daripada TNB, sementara menunggu penjelasan lanjut.

“Menteri Besar perlu menjelaskan rasional di sebalik keputusan PCB untuk melepaskan kepentingan aset negeri yang juga gerbang utama persisiran pantai dan mengumumkan sebab di sebalik kegagalan menubuhkan Pihak Berkuasa Pelabuhan Perak,

“Menteri Besar perlu menjelaskan sama ada (terdapat) atau tidak percubaan untuk menyahsenarai PCB dari Bursa beberapa bulan yang lalu, dengan telatah penjualan kepentingan negeri,” kata Howard. – Roketkini.com