Berita

Pakatan Rakyat jangan terjerat muslihat strategis UMNO

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Pakatan Rakyat jangan terjerat dengan tipu muslihat pemimpin dan strategis Umno ketika ini, di saat Presidennya, Datuk Seri Najib Razak bergulat demi hayat politiknya sendiri.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, dinamik politik dan ketidakseimbangan dari dalam dan luar Umno akan menambah kesengitan, dengan tumpuan kepada mesyuarat pemimpin bahagian Umno 8 Mac ini dan persidangan DUN Kelantan pada 18 Mac.

Menurutnya, semakin besar tekanan politik ke atas Najib akibat skandal ekonomi, kewangan dan keluarganya, semakin bertambah politik ‘matlamat menghalalkan cara’ ala Machiavellian untuk mengalih perhatian umum daripada permasalahan tersebut.

Justeru itu, komplot dan konspirasi untuk menggugat, memecahbelah dan menghancurkan Pakatan Rakyat dibuat, termasuk mendukung Kerajaan Perpaduan (UG), serta umpan palsu sokongan ADUN Umno Kelantan terhadap pelaksanaan undang-undang hudud PAS di DUN Kelantan.

Ujar Ahli Parlimen Gelang Patah itu, memandangkan rang undang-undang pindaan Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 masih belum dibentangkan kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat, dicadangkan sebarang pembentangan di Dewan Undangan Negeri Kelantan bulan ini ditangguhkan.

“Saya telah menerima Aturan Mesyuarat untuk sidang satu bulan Parlimen bermula 9 Mac hingga 9 April, dan tidak ada pun rang undang-undang persendirian mengenai pelaksanaan hudud.

“Memandangkan kita kesuntukan masa untuk mengkaji rang undang-undang pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 itu, saya mencadangkan supaya sebarang pembentangan pindaan terbabit di DUN Kelantan bulan ini ditangguhkan.

“Bukan sahaja untuk memberikan masa yang cukup untuk cadangan pindaan tersebut dikaji, bahkan lebih penting lagi untuk memutuskan talian hayat kepada Najib dan Umno, dan tidak memberi peluang kepada mereka untuk melanjurkan permainan politik UG dan hudud mereka,” kata Kit Siang.

Tegasnya, strategi itu hanya dilakukan demi menyelamatkan UMNO-BN, serta menggugat, memecahbelah dan menghancurkan perpaduan Pakatan Rakyat yang menjadi ancaman untuk menggantikan Umno/BN di Putrajaya menjelang PRU ke-14 nanti. – Roketkini.com