Berita

DAP kecam tindakan Speaker tolak usul tergempar pengganas IS

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng mengecam tindakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak gesaan beliau supaya usul tergempar dibuat berhubung ancaman kumpulan pengganas Negara Islam (IS) yang semakin berkembang di Malaysia.

 Menurut beliau, alasan yang diberikan Pandikar untuk tidak menyegerakan usul itu tidak boleh diterima sama sekali.

 “Beliau memberi alasan kononnya kerajaan sedang menjalankan usaha bagi menangani perkara tersebut termasuk menggubal satu Rang Undang-Undang baru bagi menangani isu ancaman keganasan.

 “Rang undang-undang baru itu iaitu Rang Undang-Undang Pencegahan Keganasan (POTA) mengambil masa tiga bulan sebelum digazetkan.

 “Kalau kita tunggu selama tiga bulan baru tindakan boleh dibuat, maknanya IS ketika itu sudah lebih jauh berkembang.

 “Berapa ramai lagi kita mahu lihat anak-anak muda Malaysia menyertai mereka dan melakukan perkara yang salah?” soalnya dalam sidang media bersama Ahli Parlimen Ipoh Timur Thomas Su Keong Siong di Lobi Parlimen, hari ini.

 Sehubungan itu, Lip Eng yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan mendesak Pandikar supaya menerima usul tergempar tersebut dan tidak menunggu lebih lama lagi.

 “Perkara ini perlu dibincangkan sekarang, kalau boleh hari ini juga,” tegas Lip Eng.

 Manakala Thomas Su pula menambah kerajaan tidak boleh mengabaikan isu IS yang semakin meruncing kerana ia boleh menggugat keselamatan negara.

 “Kerajaan perlu ke depan dalam isu ini dengan bersedia untuk berdebat dan bukan mengambil mudah dengan mengabaikannya,” ujarnya.

 Pada 5 Mac lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa Rang Undang-undang POTA akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan ini.

 Katanya, akta baru itu akan menjadi undang-undang pencegahan  bagi mencegah keganasan dari anggota IS warga Malaysia dan negara lain di negara ini. -Roketkini.com