Berita

Kenapa Indeks Syariah Malaysia tinggalkan ‘perlindungan terhadap negara’? – Kit Siang

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mempersoalkan pelaksanaan Indeks Syariah Malaysia oleh kerajaan dalam perbahasan parlimen hari ini kerana tidak menyatakan perlindungan terhadap negara.

Tahun lalu Perdana Menteri Najib Tun Razak mengumumkan pelancaran usaha penilaian Indeks Syariah yang mempunyai lima asas umum penilaian bagi dasar-dasar pentadbiran.

Penilaian saintifik itu adalah melalui dasar perlindungan agama,nyawa, harta, bangsa, dan maruah. Menggunakan konsep ‘maqasid syariah’, Indeks Syariah Malaysia dilihat akan dapat mengukur pencapaian jabatan-jabatan kerajaan.

Walaupun begitu, Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengatakan penilaian ini tidak sempurna dan lompong apabila perlindungan terhadap negara tidak dimasukkan di dalamnya.

“Kalau benar, indeks Syariah ini untuk menilai tadbir urus negara. Kenapa tidak ada perlindungan terhadap negara dimasukkan?

“Indeks ini diputuskan kerajaan, tapi negara tidak dilindungi,” tegas Kit Siang.

Kit Siang turut menambah penangkapan Ketua Pembangkang terang-terang menunjukkan prinsip keadilan telah dirobohkan oleh dasar-dasar negara yang diperintah UMNO dan Barisan Nasional yang kini kononnya mahu menggunakan indeks ini bagi menilai tadbir urus yang tidak ada integriti.

“Indeks ini tidak bermakna dan tiada ertinya.

“Nilai-nilai seperti keadilan langsung tidak diberikan perhatian oleh kerajaan,” ujar beliau lagi. – Roketkini.com