Berita

1MDB tidak ada wang, guna duit kerajaan bayar faedah?

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Walaupun Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah menegaskan bahawa audit penuh perlu dibuat ke atas 1MDB dan tidak dijamin apa-apa bantuan kepadanya, namun kenyataan itu tidak dihiraukan kerajaan.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua dan Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini mendedahkan kerajaan telah pun memberikan sekurang-kurangnya RM1 bilion kepada 1MDB, dipercayai untuk menyelesaikan masalah kewangan syarikat itu.

“(Pinjaman RM 970 juta) ini sudah didedahkan oleh media Singapura, The Business Times dan Edge Market hari ini.

“Kita kecewa kenyataan Muhyiddin langsung tidak diambil kira oleh kerajaan.

“Kami percaya pinjaman terbaru 1MDB yang diberi kerajaan itu adalah untuk selesaikan skandal hutang RM 42 bilion,” ujar Tony.

Tony turut mengatakan 1MDB sebenarnya tidak mempunyai wang langsung bagi menyelesaikan masalah kewangannya malah terpaksa mendapatkan wang kerajaan untuk membayar faedah pinjaman.

“Saya percaya sejumlah wang kira-kira RM1 bilion yang baru saja diberikan kerajaan Najib kepada 1MDB itu hanya untuk selesaikan bayaran faedahnya saja.

“Faedah yang bernilai RM1 bilion itu terkumpul dari bulan Mac sehingga Jun tahun lalu.

“Ini menunjukkan 1MDB langsung tak mampu bayar hutangnya, faedah yang terkumpul pun perlukan pinjaman lain untuk dibayar,” ujar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu lagi.

Najib jumpa Ketua UMNO Bahagian perjelas skandal

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pandan Rafizi mengatakan kepada pemberita, beliau telah mendapat maklumat Perdana Menteri Najib Tun Razak telah bertemu dengan semua Ketua Bahagian UMNO bagi menjelaskan isu 1MDB kepada mereka 8 Mac lalu.

“Menurut pemberi maklumat yang hadir di pertemuan tersebut, Najib buat penerangan mengenai aliran tunai 1MDB.

“Dia yang saya sifatkan sebagai ‘spy’ Tun Mahathir beritahu Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk suntik RM900 juta kepada 1MDB bagi selesaikan aliran tunainya.

“Ini bertepatan sekali dengan apa yang YB Tony bentangkan sebentar tadi (mengenai RM1 bilion yang diberi kepada 1MDB).

Sehubungan itu, kedua-dua ahli parlimen tersebut menyeru agar Najib ke depan menjelaskan isu yang terkait mengenai keterlibatannya dalam skandal 1MDB.

“Kita nak Najib dedahkan minit mesyuarat Jemaah Menteri mengenai 1MDB, dan suntikan dana ke dalam syarikat itu.

“Beliau juga perlu beri penjelasan mengenai maklumat dari taklimat kepada Ketua-ketua Bahagian UMNO tentang suntikan RM900 juta yang diluluskan oleh Kerajaan persekutuan kepada 1MDB,” tegas Rafizi. -Roketkini.com