Rencana

Tentang atlet perempuan berseluar pendek

Berbicara tentang sukan olahraga mengingatkan saya kepada masa awal dan pengalaman menceburkan diri dalam arena ini, antaranya mewakili Majlis Sukan Sekolah Negeri Sembilan (MSSNS) ke peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dalam acara “4x400m Champion Schools” pada tahun 2005 di Kedah, setelah pasukan sekolah saya, iaitu Sekolah Menengah Teknik Ampangan, menjuarai di peringkat MSSNS.

Mempunyai sedikit pengalaman olahraga dan berlatarbelakang pendidikan dalam bidang jasmani membuatkan saya terpanggil untuk memberikan pandangan berkaitan isu baru-baru ini yang berlaku dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Kulaijaya berkenaan dengan satu gambar seorang atlet perempuan memakai seluar pendek dalam acara lumba jalan kaki.

Lebih merisaukan saya apabila sebuah gambar “print screen” whatsapp oleh Faezah Wahab menyatakan ini adalah penganjur yang melampau dan menghina agama Islam.

shortsAsasnya kita perlu memahami secara teknikal peraturan bagi acara jalan kaki. Terdapat bahagian di kaki yang perlu dilihat oleh pegawai olahraga bagi memastikan atlet tidak melanggar peraturan. Semasa acara dijalankan atlet perlu memastikan langkah sentiasa mencecah bumi dan tidak ada langkah yang tidak mencecah bumi. Manakala kaki yang berada di hadapan hendaklah sentiasa lurus (tidak membengkokkan lutut) dari mula mencecah bumi sehinggalah keadaan pejalan benar-benar tegak.

Ini memerlukan pemerhatian yang teliti dan jelas oleh pegawai trek untuk mengelakkan atlet daripada berlari.

Bagi memudahkan penilaian terdapat dua perkara yang perlu dilakukan iaitu atlet perlu memastikan bahagian lutut berada dalam keadaan lurus semasa kaki mencecah bumi dan pemakaian atlet perlulah menampakkan bahagian lutut supaya pegawai mampu untuk membuat penilaian. Adalah sangat tidak sesuai peserta memakai seluar track kerana ia besar dan menghalang pegawai daripada melihat kedudukan lutut atlet secara jelas.

Berbalik kepada isu yang saya nyatakan tadi, sebenarnya jurulatih Sekolah Menengah Kangkar Pulai (seorang India) atau SMKP telah memberikan pilihan samada mahu meneruskan penyertaan atau menarik diri. Jika mahu meneruskan perlulah mengikut peraturan. Bagaimanapun atlet wanita tersebut mahu meneruskan dengan memakai seluar track yang dilipat sehingga paras lutut.

Penolong Pengerusi Teknik Kejohanan (seorang Melayu-Muslim) telah berjumpa dengan jurulatih SMKP dan memberitahu sekiranya atlet wanita itu tidak memakai seluar di bahagian atas lutut maka penyertaannya akan dibatalkan. Akhirnya, atlet wanita itu sendiri yang membuat keputusan untuk memotong seluar track berkenaan bagi meneruskan penyertaan.

Ini bermaksud tidaklah ada unsur penghinaan agama Islam seperti yang dinyatakan dalam gambar “print screen” whatsapp oleh Faezah Wabah. Disebabkan atlet sendiri yang membuat pilihan untuk memotong dan memakai seluar pendek tersebut. Bahkan, lebih penting untuk diketahui adalah jurulatih India tersebut telah pun menyatakan bahawa dia tidak akan memaksa atau memarahi sekiranya atletnya mahu menarik diri.

Saya tidaklah menyalahkan atlet wanita tersebut kerana sebagai seorang pelajar yang baru berusia 16 tahun, saya memahami betapa gembira dan bersemangatnya mewakili sekolah dalam sukan yang diminati. Usahanya untuk mengharumkan nama sekolah dan memenuhi impian diri perlulah diberikan penghargaan.

Saya pernah mengikuti kursus kepegawaian olahraga dan lulus peperiksaan di bawah Kesatuan Olahraga Amatuer Malaysia (KOAM), atau sekarang dikenali sebagai Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), dan dari sana saya memahami betapa pentingnya peraturan dalam sesebuah acara, walaupun sewajarnya penganjur perlu ada budi bicara semasa menguruskan penganjuran ini.

Perlu difahami bahawa tatacara pemakaian bagi sesebuah agama dan masyarakat agak sensitif di Malaysia ini khususnya Islam. Tidak salah sekiranya, penganjur memberikan peluang kepada atlet wanita itu memakai seluar ketat atau “tight” panjang untuk menyertai acara. Juga boleh memakai baju yang labuh menutup bahagian punggung atau memakai seluar pendek di luar menutupi seluar ketat tersebut.

Pemakaian seluar ketat panjang masih mampu memberikan pandangan yang jelas kepada pegawai trek untuk membuat penilaian terhadap kedudukan atau posisi lutut atlet. Peserta perlu diberikan pilihan untuk mengenakan pemakaian yang lebih sesuai dengan keselesaannya tanpa memudaratkan peraturan pertandingan.

Jika dirujuk Buku Peraturan Olahraga 2014-2015 (hal. 84-86) dalam Seksyen VII-Acara Lumba Jalan Kaki (Peraturan 230-Lumba Jalan Kaki) yang dikeluarkan oleh KOM tidak ada satu klausa yang menyatakan perlu atau wajib memakai seluar pendek atas lutut. Bagi saya selagi pegawai trek mampu untuk membuat penilaian secara mata kasar kedudukan lutut atlet maka pemakaian tersebut dibolehkan.

Sukan adalah satu wadah pendidikan yang berkesan bagi menyampaikan mesej menghormati antara satu sama lain dalam masyarakat yang plural. Bahkan, sukan pada hari ini juga sebagai satu perjuangan untuk mengharumkan nama negara. Adalah tidak wajar jika sukan dijadikan sebagai satu propaganda yang boleh membawa kepada ketidakstabilan. Lebih-lebih lagi apabila ia terjadi di peringkat sekolah yang pada akhirnya menjadi buah mulut kepada masyarakat sekeliling.

Sebagai satu pertandingan yang menggalakkan pertumbuhan bakat-bakat baharu dalam arena sukan negara sewajarnya pihak penganjur lebih bersikap terbuka. Bukan semata-mata hanya memberikan pilihan untuk terus memaksa memakai seluar pendek atau menarik diri daripada pertandingan.

Semua pihak yang terbabit dalam lapangan sukan perlu menunjukkan bahawa sukan adalah sebuah cabang penting bagi negara. Walaupun pengajian sukan berunsurkan sains tetapi pengetahuan dalam bidang sosiologi juga diperlukan. Ia akan memberikan kemudahan kepada masyarakat untuk menerima dan mengaplikasikan sukan secara serius khususnya wanita Melayu dan umat Islam di negara ini. – Roketkini.com