Rencana

UniRazak, kekurangan guru dan Borneosasi

oleh: Larry Asap

UniRazak dimiliki Yayasan Pintar dan lembaga pengarahnya dianggotai oleh Datuk Seri Najib, Datuk Seri Hishammuein Hussein, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mustapha Mohamad dan Datuk Seri Ali Rustam.

Tan Sri Muhyiddin Yassin merupakan Menteri Pelajaran (2013 – kini) dan menjadi Menteri Pelajaran (2009 – 2013). Datuk Seri Hishammudin Hussein pula menjawat jawatan Menteri Pelajaran dari tahun 2004 sehingga 2009. Manakala Datuk Seri Mustapha Mohamad menjadi Menteri Pengajian Tinggi dari tahun 2006 – 2008. Ini bermakna Unirazak diterajui oleh Menteri Pelajaran dan Menteri Pengajian Tinggi. Bagai isi dengan kuku.

Graduan UniRazak jurusan pendidikan menganggur

Pelik tetapi benar. Perkara ini terjadi di depan mata kita. UniRazak menawarkan jurusan pendidikan kepada graduan-graduan dengan harapan apabila tamat belajar kelak mereka akan menjadi seorang guru.

Diiktiraf sepenuhnya

Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang berada di bawah naungan Kementerian Pengajian Tinggi, mengiktiraf sepenuhnya dan memberi akreditasi jurusan pendidikan yang ditawarkan oleh Unirazak. Perkara pertama selesai.

Graduan Swasta Jurusan Pendidikan Bukan Keutamaan KPM

Namun demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia ( KPM) pula mempunyai dasar pengambilan guru yang mengutamakan graduan bidang pendidikan daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) dan Institut Pengajian Tinggi Awam. Masalahnya di sini, dasar ini memberikan kesan kepada graduan UniRazak. Dasar KPM inilah yang menjadi penghalang kepada graduan UniRazak untuk mendapatkan penempatan di sekolah.

Ketidakselarian dasar

Isu pengangguran graduan ijazah daripada universiti UniRazak yang mengikuti bidang pendidikan berpunca daripada ketidakselarian dalam merangka dan melaksanakan dasar diantara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

UnirazakLogo_03Yayasan Pintar, KPT dan KPM

Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pintar menerajui KPT dan KPM. Menteri-Menteri KPT dan KPM pula menerajui Yayasan Pintar.

Bagaimana mungkin Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pintar yang menerajui UniRazak tidak sedar dengan dasar yang dilaksanakan oleh KPM? Sedangkan mereka juga duduk di dalam KPM itu sendiri.

Bagaimana mungkin menteri KPM tidak sedar bahawasanya Yayasan Pintar yang menerajui UniRazak itu ada menawarkan jurusan pendidikan? Sedangkan mereka juga duduk di dalam Yayasan Pintar itu sendiri.

UniRazak yang diterajui oleh Yayasan Pintar menawarkan jurusan pendidikan dengan harapan mereka kelak akan menjadi seorang pendidik. Tetapi apabila Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Pintar ini duduk di kerusi KPM, tidak pula mereka menawarkan penempatan untuk graduan – graduan di bawah UniRazak yang diterajui oleh mereka sendiri melalui Yayasan Pintar. Pelik. Ajaib. Tetapi… ia nyata dan benar.

Sekejap lebih, sekejap kurang

Sekejap kata Sarawak kekurangan guru. Sekejap kata Sarawak terlebih guru. Pening kepala. Mana satu yang betul?

Sekarang kata menteri, Sarawak kekurangan guru. Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Ambil dan tempatkan semua graduan UniRazak yang menganggur di seluruh sekolah di Sarawak.

Di tangan saya ada sejumlah senarai nama pelajar UniRazak yang menunggu untuk ditempatkan. UniRazak Kuching berjumlah 245 orang. UniRazak Sabah berjumlah 984 orang.
Mereka bersedia untuk mengisi kekosongan tersebut.

Ubah dasar

Parlimen akan bersidang. Penggubal dasar harus memandang serius isu ini. Gubal semula dasar pengambilan dan penempatan para guru. Berikan ruang dan peluang yang setara kepada graduan swasta khususnya jurusan pendidikan UniRazak untuk ditempatkan di sekolah-sekolah.

buildKerangka dasar berteraskan semangat Borneosasi dan Integrasi Nasional

Kerangka dasar itu harus mengambilkira akan perihal Borneosasi. Borneosasi itu perlu selaras dengan Perkara 18/20. Ketua-ketua jabatan pendidikan harus diterajui anak tempatan. Keutamaan penempatan guru khususnya di Sarawak mesti memberi keutamaan kepada anak – anak tempatan. Borneosasi ini bukan anti-Semenanjung. Ini janji leluhur bapa-bapa Malaysia kita pada tahun 1963.

Persekutuan Malaysia ini memerlukan Integrasi Nasioanal. Integrasi Nasional itu pula haruslah berlandaskan semangat “Rakan Kongsi Setara”. Integrasi Nasional itu bukan jalan sehala. Ia perlukan dua arah.

Jika Integrasi Nasional itu diambil kira dalam merangka dasar pengambilan guru, ia perlu adil dan seimbang. Jika jumlah guru dari Semenanjung dihantar ke Sarawak berjumlah 100 orang, makanya atas dasar adil dan seimbang itu, 100 orang guru dari Sarawak perlu juga dihantar ke Semenanjung.

Integrasi nasional tidak akan dapat dicapai sekiranya nisbah pembahagian itu tidak rata dan setara.

Pendidikan bukan perdagangan

Pendidikan dan masa depan para graduan ini tidak seharusnya diperdagangkan dengan sewenang-wenangnya. Graduan-graduan UniRazak punya hutang yang perlu dijelaskan. Mereka punya ibu bapa dan keluarga untuk disara. Tenaga sumber manusia ini jangan sesekali diabaikan. Yayasan Pintar, KPM dan KPT sila tunaikan tanggungjawab anda.

*Penulis adalah Setiausaha DAP Kapit