Berita

Skandal 1MDB bakal hantui pasaran modal negara, menyumbang kejatuhan nilai ringgit

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Skandal 1MDB akan menghantui pasaran kewangan modal negara, malah menyumbang kepada kejatuhan nilai ringgit jika menteri BN masih enggan mengakui ada usaha menyelamat (bailout) 1MDB.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, ini kerana RM600 juta daripada RM950 juta peruntukan kerajaan digunakan oleh 1MDB sebagai kredit tersedia.

Kata Guan Eng, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah seperti burung unta yang menyembunyikan kepalanya ke dalam tanah apabila berdepan masalah.

“Beliau berkeras menyatakan suntikan RM950 juta itu sebagai kredit tersedia kepada 1MDB bukan usaha menyelamat , kerana 1MDB bukan sebuah organisasi yang gagal tetapi hanya mengalami masalah aliran tunai jangka pendek sahaja.

“Jelas Ahmad Husni lupa dengan asas perakaunan sekolah menengah yang mengajar bahawa kebankrapan biasanya disebabkan oleh insolvensi, iaitu tidak mempunyai cukup tunai untuk membayar hutang, walaupun akaun kewangan menunjukkan keuntungan.

“Sudah banyak syarikat rugi dan bankrap kerana gagal menunaikan janji membuat bayaran tunai jangka pendek walaupun akaun mereka menunjukkan mereka mempunyai aset bernilai berbilion ringgit.

“Pada masa sama, apabila Ahmad Husni mengakui 1MDB gagal membayar hutang tunai jangka pendek, ia bererti beliau mengakui bahawa 1MDB boleh bankrap jika tiada kredit tersedia RM950 juta itu,” kata Guan Eng.

Menurut Guan Eng, tanpa kredit tersedia 1MDB tidak mampu membayar hutang tunai jangka pendeknya, dan akan bankrap.

Kenyataan Ahmad Husni turut bercanggah apabila berkata di Parlimen bahawa nisbah hutang ekuiti (gearing ratio) 1MDB – berbanding modal di mana semakin tinggi nisbah hutang ekuiti, semakin teruk keadaan syarikat.

Manakala keadaan tersebut adalah 17 kali ganda dan gagal dikekalkan pada tahapnya sekarang.

Bursa Malaysia paling teruk di kalangan negara Asia Pasifik

“Atas sebab ini, Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) tahun ini dijangka terus kekal dengan rekod buruknya sebagai pasaran saham paling teruk di rantau Asia Pasifik.

“Walaupun Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi 6 peratus tahun lalu, KLCI pada 2014 telah jatuh 5.7 peratus, paling buruk di kalangan bursa Asia Pasifik.

“Thailand yang mencatat pertumbuhan ekonomi tidak sampai 1 peratus pada 2014 berjaya meningkatkan indeks kepada 15.3 peratus, manakala indeks saham Filipina menjadi contoh terbaik di rantau ini dengan peningkatan 22.8 peratus.

“Jelas bahawa pelabur antarabangsa tidak berminat dengan prestasi masa lalu tetapi lebih serius tentang prospek masa depan KCLI dan Malaysia sendiri,” kata Guan Eng.

Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi hampir 6 peratus pada 2014, namun menjadi negara paling teruk prestasinya berbanding negara-negara jiran yang lebih rendah kadar pertumbuhan ekonomi.

“Prospek KCLI negatif kerana persoalan tentang skandal 1MDB yang menambah syak wasangka tentang sama ada penarafan kredit (credit rating) Malaysia akan terjejas jika terdedah segala-galanya tentang 1MDB.

“Amat penting bagi 1MDB dan Kementerian Kewangan mendedahkan segala-galanya secara terbuka tentang skandal tersebut,” kata Guan Eng. – Roketkini.com