Berita

DAP sambut baik pendirian akhbar The Sun mahu kerajaan tangguh GST

KUALA LUMPUR, 17 MAC: DAP hari ini menyambut baik pendirian akhbar harian ‘The Sun’ menggesa kerajaan tangguh pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sehingga tahun depan.

Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong ditemani Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli hari ini pada sidang media di lobi Parlimen memuji pendirian akhbar itu sambil menyifatkannya sebagai contoh yang wajar diikuti media lain.

“Pakatan Rakyat jelas. Kami tidak mahu GST dilaksana untuk selama-lamanya.Tapi BN mahu teruskan juga ketika semua tahu kerajaan belum jimat cermat, dan rakyat masih miskin.

“Apabila The Sun hari ini minta kerajaan tangguh GST, menunjukkan jelas kerajaan tidak bersedia untuk laksana GST.

“Ini satu contoh yang harus diikuti oleh semua media utama yang lain. Kita harap kerajaan ambil kira pendirian rakyat ini,” tegas Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang.

Masih kabur undang-undang GST

Dalam pada itu, Rafizi berkata, rakyat masih lagi kabur mengenai undang-undang GST.

Ia turut memberi kesan kepada peniaga-peniaga kecil yang terpaksa menanggung kos GST, bahkan berisiko menjadi mangsa undang-undang tersebut berserta denda.

“Saya bimbang peniaga kecil yang masih tidak faham undang-undang GST akan didenda pegawai kastam. Ini masalah yang pasti berlaku.

“Menurut undang-undang, jika ada yang tidak mengikut piawaian cukai, ia boleh membawa kepada tiga tahun penjara dan denda RM 2 juta.

“Hakikatnya, tidak ada lagi kepastian tentang undang-undangnya,” ujar Ahli Parimen Pandan itu.

Rafizi berkata, menurut pengalamannya di United Kingdom, kerajaan negara itu turut berdepan masalah serupa.

“Kerajaan kita pula masih kabur, tapi mahu laksana juga. Saya tahu, dulu saya wakil syarikat-syarikat minyak dan gas menggubal dasar GST. Itu tahun 2005.

“Sekarang 2015, kerajaan masih lagi tak boleh jelaskan GST dengan baik. Saya yakin mereka tak boleh,” kata Rafizi.

The Sun hari ini dalam kolum ‘theSun says’ menyatakan sebab kerajaan harus menangguhkan GST.

Ia berhubung kekaburan mengenai GST dalam sektor kesihatan, kemungkinan rasuah dalam industri tertentu dan penurunan penggunaan kad dalam sektor perbankan. – Roketkini.com