Berita

Hudud: PAS khianati rakyat Kelantan

KUALA LUMPUR, 18 MAC: Tindakan PAS berusaha bermati-matian untuk tetap melaksanakan undang-undang hudud jelas dengan sendirinya telah mengkhianati kemahuan rakyat Kelantan, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Beliau berkata, berdasarkan kajian terbaru Merdeka Center dua hari lalu mendapati bahawa 81 responden beragama Islam mahukan Kerajaan Kelantan mengutamakan pembinaan semula negeri itu selepas dilanda banjir teruk dan bukannya hudud.

“Rakyat Kelantan telah menyatakan dengan lantang dan jelas kepada PAS, berbanding hudud, mereka mahu kerajaan negeri meneliti isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan seharian seperti kenaikan harga, ekonomi, pelaksanaan GST tidak lama lagi, kekurangan infrastruktur dan paling penting pembinaan semula akibat banjir teruk baru-baru ini.

“Malangnya, apa yang PAS fikirkan masih tetap untuk membentangkan Rang Undang-Undang Syariah di DUN negeri hari ini dan di Parlimen akhir bulan nanti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Charles yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor menegaskan, kesungguhan PAS turut telah menjejaskan citra Pakatan Rakyat yang berteraskan platform sekular.

“Agenda PR adalah jelas tentang perubahan dan pembaharuan, untuk memupuk tadbir urus yang baik, mengembalikan kebebasan badan kehakiman, menghapuskan rasuah, kronisme dan juga mengekalkan Malaysia sebagai negara sekular.

“PAS sendiri sudah bersetuju dengan prinsip-prinsip teras PR dan menandatanganinya,” ujarnya.

Beliau menyatakan, agenda dan dasar itulah yang menjadi penyebab mengapa rakyat Malaysia mengundi Pakatan dalam pilihanraya umum yang lalu dan bukannya kerana hudud.

“Mungkin sudah tiba masanya untuk PR membuat keputusan sukar terhadap PAS kerana gagal mematuhi dasar bersama dan mengkhianati rakyat,” tegasnya.

Kerajaan Kelantan pimpinan PAS dilaporkan akan meneruskan rancangan membentangkan pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di sidang DUN negeri hari ini walaupun mendapat bantahan dari rakan-rakan PR termasuk DAP.

Butiran tentang pindaan enakmen berkaitan hudud itu langsung tidak ditunjukkan kepada rakyat dan pimpinan PAS negeri sendiri. -Roketkini.com