Rencana

Apa hak DAP untuk campuri urusan hudud orang Islam?

Marah betul sesetengah orang Islam Malaysia akhir-akhir ini apabila DAP membantah rancangan melaksanakan hudud. Bukan sahaja orang Islam dari kalangan PAS, malah orang Islam dari kalangan UMNO juga turut berkuntau mempertahankan hukum yang sejak azali dibantahnya bermati-matian.

Silat kuntau UMNO dan PAS menyergah DAP dalam hal hudud ini amat menarik untuk diperhati dan dikaji sebab musababnya. Terutama sekali apabila wujud dua tiga kerat pemimpin daripada PAS dan UMNO – sehingga sukar nak dibezakan mana satu sekarang ini – yang bertindak mengecam DAP atas alasan ia sebuah parti yang tidak perlu mencampuri urusan umat Islam dan undang-undang Islam.

Bagi mereka yang berjiwa perkauman ini, seolah-olah DAP ini semuanya kafir belaka, tak ada yang Islam. Sedangkan rakan-rakan PAS itu juga yang dahulu berhempas pulas berkempen ke serata ceruk memberitahu orang kampung bahawa ini Zairil Khir Johari, Ariff Sabri, Tengku Zulpuri ini semua orang Islam, Melayu; mereka calon DAP.

Tapi tak apa, kita fahami prejudis umum yang sudah bertahun-tahun termakan pujuk rayu UMNO, dan melihat DAP sebagai parti untuk para kafir, serta para orang Islam yang diragui keimanannya. Anda punya hak untuk bersikap prejudis sedemikian, seperti juga anda punya hak untuk buat sesuka hati di Dewan Undangan Negeri Kelantan tanpa perlu mengambil kira pendapat dan pendirian kolektif dalam Pakatan Rakyat.

Ini mungkin sebabnya kenapa kita juga seringkali merujuk Kerajaan Negeri Kelantan sebagai ‘Kerajaan Negeri PAS Kelantan’ dan jarang digelar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat, seperti mana keadaannya di Pulau Pinang, Selangor dan dahulunya di Perak dan Kedah.

Tapi tak apa. Sebagai kerajaan yang dilantik secara demokratik, dan membentuk majoriti di Dewan Undangan Negeri Kelantan, PAS punya hak yang demokratik juga untuk menggubal apa-apa undang-undang yang ia rasakan sesuai dengan keadaan dan keperluan penduduknya; meski tanpa mendapat persetujuan rakan-rakan Pakatan Rakyat.

Tetapi sebenarnya apa sebab rakan-rakan Pakatan Rakyat tidak dapat memberikan persetujuan kepada Kerajaan Negeri PAS Kelantan untuk menjalankan agenda hududnya itu? Malah bukan sahaja DAP, PKR juga dengan lemah lembut tutur kata turut menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan yang dilihat tergesa-gesa oleh PAS dalam melaksanakan undang-undang syariah ini. Apa yang dikejar? Muktamar kah, atau benda lain?

DAP sebagai parti untuk semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, darjat, keturunan, gender, usia dan daerah; menyatakan pendiriannya dengan jelas bahawa sebagai sebuah negara dengan kemajmukan tinggi; tidak boleh sesuatu agama atau gaya hidup sesebuah budaya tertentu dijadikan struktur asas pembentukan jatidiri bangsa Malaysia. Ertinya tidak wajar bagi sesebuah agama meletakkan standardnya ke atas pentadbiran keseluruhan rakyat Malaysia – yang kita fahami sebagai sistem demokrasi sekular.

DAP justeru runsing tentang nasib warga Malaysia keseluruhannya yang boleh sahaja terkesan secara langsung atau tidak langsung dengan anasir-anasir agama dalam pentadbiran yang tidak dijamin tidak akan mencampuri urusan peribadi mereka suatu hari kelak. Tidak ada jaminan proses Islamisasi di Kelantan tidak akan merebak ke Terengganu, seterusnya ke Pahang, kemudian ke Perak dan turun ke Selangor. Di setiap negeri ini juga ada orang Islam yang menjadi wakil rakyat UMNO dan PAS. Apa jaminan hudud anjuran PAS Kelantan hanya terhenti di Kelantan?

Apa pula jaminan bahawa pelaksanaan hudud ini tidak akan memecah sempadan agama dan turut terkena kepada orang bukan Islam juga? Atau setidaknya kaum bukan Islam mungkin tidak setuju melihat sahabat Islam mereka dikenakan hukuman yang dijangka berat dan keras itu.

Apakah orang bukan Islam akan satu hari terpaksa meninggalkan negeri-negeri yang melaksanakan hudud lantaran tidak bersetuju dengan hukuman-hukuman rejam dan potong tangan di khalayak awam di mana orang bukan Islam selalu lalu lalang?

Kerunsingan ini bertambah ngeri apabila kita telah menyaksikan di rangkaian sosial klip-klip video pemenggalan kepala, rejam, potong tangan hatta orang dicampak dari bangunan tinggi serta mayat-mayat bergantungan di pintu gerbang angkara kumpulan pengganas ISIS di Syria dan Iraq. Walaupun ISIS jauh beza dengan PAS, cita-cita mereka hampir sama, iaitu mahu membina sebuah negara Islam. Sama ada PAS setuju atau tidak dengan ISIS yang mahu dan mengembalikan khilafah Islamiyah dengan manhaj kenabian, tidak pula terdengar pimpinan atau ulamak PAS mengecam ISIS.

Kerunsingan inilah yang menghantui rakan-rakan bukan Islam di dalam DAP, malah juga dalam PKR serta yang berada di dalam Dewan Himpunan Penyokong PAS sendiri yang sangsi jika satu hari nanti mereka akan dipaksa taat dan patuh kepada seorang khalifah serta mengucapkan syahadah. Jika tidak mereka mungkin terpaksa berhijrah ke luar negara.

Mudah bagi orang Islam untuk menyatakan bahawa ‘Kita harus fahamkan DAP tentang Islam, kita kena dakwah DAP untuk terima hukum Allah’ namun pada masa yang sama orang Islam lupa bahawa taufiq dan hidayah bukan milik kita untuk diberi-beri kepada rakan-rakan dalam DAP. Bahkan Nabi sendiri pun pada zamannya tidak mampu mengislamkan kesemua umat pada waktu itu. Ini kan pula kita yang cuba memaksakan sistem ke atas sebuah kelompok yang kini melihat umat Islam dari PAS dengan penuh rasa syakwasangka dan tanpa rasa percaya lantaran khianatnya kepada janji.

Berbalik kepada persoalan tadi. Apa jaminan hudud di Kelantan ini bukan isyarat pertama bermulanya proses pengTalibanan yang panjang ke atas negara yang mempunyai kemajmukan tinggi? Kerana selagimana jaminan sebegini tidak dapat diberikan, selagi itu akan wujud ketakutan dan ketidakfahaman.

DAP sekadar mendesak PAS supaya berpegang kepada janji. Supaya barangkali sekurang-kurangnya bila mahu dibuat keputusan dasar sebesar ini, molek kiranya jika dibuat setelah mendapat konsensus sebulat suara; dan bukan kerana mahu menang di muktamar sahaja. – Roketkini.com