Berita

Dipecat kerana mengandung, Kerajaan UMNO-BN hina wanita

KUALA LUMPUR, 19 MAC: DAP menyelar sikap tidak bertanggungjawab kerajaan yang sehingga kini masih tidak membayar ganti rugi sebanyak RM300,000 kepada seorang wanita yang dipecat sebagai guru hanya kerana beliau mengandung.

Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata, tindakan kerajaan UMNO-BN bukan saja tidak menghormati undang-undang malah telah merupakan penghinaan terhadap wanita.

“Dalam kes Noorfadilla Ahmad Saikin, Mahkamah Tinggi telah mengarahkan kerajaan agar membayar sebanyak RM300,000 kepada beliau tapi sehingga sekarang bayaran ganti rugi itu tidak dibuat.

“Mengandung dan melahirkan anak adalah hak serta tanggungjawab wanita. Memecat beliau hanya kerana melaksanakan tanggungjawab sebagai wanita jelas merupakan satu diskriminasi.

“Persoalannya mengapa bayaran ganti rugi itu tidak dibuat sedangkan syarikat Jho Low boleh dibayar jutaan USD tapi ia tidak dilakukan untuk seorang wanita.

“Ini jelas menunjukkan bahawa UMNO tidak hormat malah menghina wanita,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 12 Januari 2009, Hakim Datuk Zaleha Yusof telah memutuskan bahawa tindakan memecat Noorfadilla sebagai Guru Sandaran adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Noorfadilla dari Kajang telah memfailkan saman pada 7 Mei 2010 dengan menamakan pegawai khas Kumpulan Guru Simpanan Kerajaan Chayed Basirun, pegawai pelajaran Daerah Hulu Langat Ismail Musa dan Pengarah Pendidikan Selangor Dr Zahri Aziz sebagai defendan.

Turut dinamakan adalah Ketua Pengarah Pendidikan, Menteri Pendidikan dan Kerajaan Malaysia.

Pada 10 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam telah mengarahkan kerajaan membayar sebanyak RM300,000 kepada Noorfadilla kerana telah melakukan diskriminasi terhadap kesetaraan wanita.

Mahkamah telah memerintahkan kerajaan membayar RM12,907.68 untuk kehilangan pendapatan, RM2,296.10 bagi kehilangan KWSP, RM912.71 kehilangan dividen KWSP serta RM25,000 bagi penderitaan dan RM5,000 selebihnya.

Noorfadilla turut mendesak kerajaan untuk meminda Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan tiada diskriminasi di sektor swasta dan awam.

Hakim turut memaklumkan bahawa Noorfadilla berhak untuk merujuk kepada perkara Konvensyen Untuk Menghapuskan Diskriminasi Dalam Semua Bentuk Terhadap Wanita 1979/81. – Roketkini.com