Berita

Himpunan “Justice is Dead”: SPRM enggan bersemuka keluarga Teoh Beng Hock

SHAH ALAM, 19 MAC: Kira-kira 100 orang berhimpun dalam himpunan “Justice is Dead” di hadapan Wisma PKPS hari ini bagi menuntut keadilan buat mendiang Teoh Beng Hock.

Himpunan itu, yang bertujuan mendesak Ketua Pengarah SPRM untuk memberi penjelasan khusus berkenaan dua pegawai yang terlibat dalam misteri kematian Teoh Beng Hock dan dihadiri oleh adik perempuan mendiang Beng Hock, Teoh Lee Lan, ibunya, beberapa orang pemimpin DAP dan wakil NGO, bagaimanapun tidak mendapat respons pihak SPRM.

“Kami datang dengan aman untuk nyatakan tidak puas hati terhadap SPRM.

“Kami mahu Pengarah SPRM Selangor turun berdepan dengan kami seluruh keluarga Beng Hock.

“Namun, nampaknya anda tak berani berdepan suara rakyat, anda gagal menjelaskan perkara yang sepatutnya mudah saja.

“Jika anda tidak turun, kami anggap anda menyimpan pembunuh Beng Hock,” tegas Lee Lan sewaktu berucap.

Antara pemimpin DAP yang hadir dalam perhimpunan tersebut ialah Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching, ADUN Balakong Eddie Ng dan bekas Exco Selangor Ronnie Liu.

Turut hadir beberapa wakil NGO seperti SUARAM.

Ketika ditanya pemberita, Nie Ching melahirkan rasa terkilannya dengan sikap berdiam diri SPRM terhadap himpunan hari ini.

“Saya kecewa tak ada seorang pegawai SPRM pun yang ambil jalan bertemu dengan keluarga Beng Hock hari ini.

“Kalau mereka tak buat salah, tak perlu rasa takut jumpa para hadirin himpunan. Kami bukannya pengganas.

“Polis pun turun sama, kami tak akan boleh pukul SPRM. Ini menunjukkan keangkuhan SPRM terhadap suara rakyat.

“Jangan harap anda boleh sembunyi. Kami akan terus adakan perhimpunan mendesak SPRM,” tegas Nie Ching.

Himpunan yang bermula kira-kira jam 10.30 pagi hari ini berjalan dengan aman walaupun ada usaha menghentikannya oleh pihak polis dan berakhir dengan baik tanpa sebarang kekasaran atau kecederaan berlaku baik di pihak peserta himpunan mahupun pihak berkuasa. -Roketkini.com