Berita

Hudud: PAS khianat dengan berserah dan percaya kepada UMNO

GEORGE TOWN, 20 MAC: Tindakan PAS yang masuk ke dalam perangkap UMNO dengan meluluskan pindaan Rang Undang-Undang Hudud di Kelantan akan memusnahkan harapan Pakatan Rakyat (PR) pada Pilihanraya Umum akan datang, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Beliau berkata, pengkhianatan PAS itu bakal menyaksikan impian UMNO untuk menyaksikan gabungan PR musnah tercapai.

“PAS Kelantan akan menanggung nasib mereka sendiri di tangan pengundi Kelantan.

“Pun begitu, adalah juga signifikan bahawa tindakan khianat PAS Kelantan dan beberapa pimpinan nasional PAS telah turut memeterai nasib Pakatan Rakyat, bukan sahaja PAS di Kelantan.

“Walaupun menyedari bahawa meluluskan undang-undang hudud sekali lagi di Kelantan akan membahayakan kewujudan PR, PAS membuat keputusan untuk berserah dan percaya kepada UMNO,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng menegaskan, PAS sebelum ini telah berjanji dalam mesyuarat terakhir Majlis Pimpinan PR untuk membuat hanya empat pindaan dalam undang-undang asal hudud 1993 yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun katanya, PAS telah mengkhianati janjinya itu apabila membentangkan keseluruhan rang undang-undang hudud dengan semua 71 klausanya.

Tegas Guan Eng, DAP membantah pelaksanaan hudud bukan kerana ia undang-undang Islam tapi kerana hudud bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Perlembagaan dengan jelas menyatakan walaupun Islam adalah agama rasmi negara, tetapi Malaysia bukanlah negara Islam.

“Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Agung pada tahun 1988 dalam kes Che Omar bin Che Soh telah menegaskan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara Islam,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan itu turut memaklumkan bahawa DAP akan mengadakan mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Isnin ini untuk membincangkan kedudukan dan pendirian parti berhubung kedegilan PAS.

“Isunya sekarang bukan sekadar berkenaan hudud yang dari sudut prinsip dan dasar sememangnya dibantah oleh DAP tapi juga persoalan kepercayaan serta kejujuran beberapa pimpinan PAS di peringkat nasional termasuk bagaimana mereka berpegang kepada janji.

“Bolehkah DAP terus bekerjasama dengan beberapa pimpinan PAS ini di platform nasional PR, sedangkan janji dan kata-kata mereka tidak mempunyai nilai dan tidak banyak beza dengan UMNO?” soalnya. – Roketkini.com