Rencana

PAS makan umpan Umno, Pakatan Rakyat hancur

Pemimpin DAP berasa marah dan dikhianati oleh pemimpin PAS Kelantan serta ramai lagi pemimpinnya yang pro-Umno akibat sikap tidak amanah, tipudaya dan pengkhianatan mereka setelah membelakangi Pakatan Rakyat, dan sebaliknya rela mempercayai Umno untuk melaksanakan undang-undang hudud melalui Enakmen Jenayah Syariah II. Daripada empat pindaan dalam undang-undang hudud 1993 yang asal seperti yang dijanjikan kepada pimpinan Pakatan Rakyat sewaktu mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat terakhir yang dipengerusikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Februari 2015, PAS telah membentangkan keseluruhan rang undang-undang hudud dengan kesemua 71 klausanya.

DAP tegas membantah pelaksanaan undang-undang hudud bukan kerana ia undang-undang Islam, tetapi kerana hudud adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perlembagaan dengan jelas menyatakan bahawa walaupun Islam adalah agama rasmi Malaysia, Malaysia bukanlah semua negara Islam. Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Agung, pada tahun 1988 dalam kes Che Omar bin Che Soh lwn Pendakwaraya telah menegaskan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara Islam.

Isunya sekarang bukan sekadar berkenaan undang-undang hudud, yang dari sudut prinsip dan dasar sememangnya dibantah oleh DAP, tetapi juga persoalan kepercayaan dan kejujuran beberapa pimpinan PAS di peringkat nasional dan bagaimana mereka berpegang kepada janji. Bolehkah DAP terus bekerjasama dengan beberapa pimpinan PAS ini di platform nasional Pakatan Rakyat, sedangkan janji dan kata-kata mereka tidak mempunyai nilai dan tidak banyak beza dengan Umno?

Setelah terjatuh ke dalam perangkap Umno untuk mengkhianati konsensus dan Dasar Bersama Pakatan Rakyat dengan meluluskan undang-undang hudud di sidang DUN Kelantan, PAS Kelantan bukan sahaja telah menghancurkan prospek pilihanrayanya di Kelantan malah semakin hampir menjadikan impian Umno untuk menghancurkan Pakatan Rakyat suatu realiti. Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom telah menghasut Umno untuk melaksanakan undang-undang hudud ke atas orang Islam di Kelantan dengan menjanjikan sokongan Kerajaan Persekutuan di Parlimen pada 27 Mac 2014.

Kenapa MCA dan Gerakan menyalahkan PAS semata-mata, tetapi tidak berani menerima cadangan bekas Timbalan Menteri MCA Datuk Gan Ping Sieu supaya menghukum Umno dengan memutuskan pertalian dengan mereka, apabila Umno bukan sahaja menyokong PAS malah menghasut PAS untuk melaksanakan hudud?

Walaupun menyedari bahawa meluluskan undang-undang hudud sekali lagi di Kelantan akan membahayakan kewujudan Pakatan Rakyat, PAS membuat keputusan untuk berserah dan percaya kepada Umno. Dengan meluluskan undang-undang hudud dengan sokongan Umno, PAS telah menjadikan hudud bukan lagi satu isu di Kelantan. Memandangkan Umno kini menyokong undang-undang hudud, ia bukan lagi satu isu terhadap Umno di Kelantan.

Umno Kelantan kini boleh mengembalikan tumpuan orang ramai kepada aset utama BN iaitu membawa kemajuan dan pembangunan, berbanding pentadbiran lemah Kerajaan Negeri PAS Kelantan, kegagalan yang boleh dilihat jelas ketika bencana banjir besar hujung tahun lalu. Malah pungutan suara Merdeka Center menunjukkan bahawa 81% responden Melayu/Islam merasakan bahawa Kerajaan Negeri Kelantan patut menumpukan kepada usaha membaiki dan membina semula rumah mangsa banjir berbanding melaksanakan hudud. Tidak ada alternatif kepada urustadbir yang baik memandangkan rakyat Malaysia secara amnya mengkehendaki kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak mereka.

81% sokongan Melayu/Islam untuk bantuan dan kerja pasca banji berbanding undang-undang hudud adalah sekata dengan pungutan suara Merdeka Center sebelum itu pada April 2014, bahawa majoriti (58%) responden Melayu merasakan bahawa negara ini belum bersedia untuk pelaksanaan hukum hudud. Pada masa yang sama, sokongan bukan-Islam yang berbaki terhadap PAS telah langsung ghaib, tidak seperti kenyataan khayalan pimpinan nasional PAS bahawa parti itu masih mempunyai tempat di hati orang bukan Islam.

PAS Kelantan akan harus menanggung sendiri nasib mereka di tangan pengundi Kelantan. Pun begitu, adalah juga signifikan bahawa tindakan khianat PAS Kelantan dan beberapa pimpinan nasional PAS telah turut memeterai nasib Pakatan Rakyat, bukan sahaja PAS di Kelantan. DAP ingin menekankan bahawa kemarahan kami terhadap pengkhianatan PAS Kelantan dan beberapa pimpinan nasional PAS tidak ditujukan kepada keseluruhan anggota-anggota PAS, yang secara amnya berprinsip dan jujur.

Saya telah mengarahkan pada hari Selasa supaya sebuah mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP diadakan pada hari Isnin depan untuk membincangkan kedudukan dan pendirian parti dalam hal PAS. Dalam semangat demokrasi, kepimpinan nasional akan membenarkan pimpinan parti di peringkat negeri dan nasional untuk menyatakan pandangan mereka berkenaan hal ini secara peribadi atau terbuka untuk dibincangkan dalam mesyuarat pada Isnin malam nanti.

*Kenyataan media oleh Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Pulau Pinang pada 20 Mac 2015.