Berita

Rakyat bakal menderita angkara GST

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Kedegilan kerajaan untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) berkuatkuasa 1 April ini bakal menyaksikan harga barangan melambung tinggi sekaligus menyebabkan berlakunya inflasi, kata Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar.

Beliau berkata, walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa pihaknya akan sedaya upaya mengawal harga sebaik GST dilaksanakan namun ia tidak semudah yang disangka, lebih-lebih lagi dengan sikap acuh tidak acuh mereka.

“Kerajaan mungkin cuba memberi keyakinan kepada rakyat bahawa undang-undang sedia ada dan beberapa langkah lain mampu mengawal kenaikkan harga.

“Tapi pandangan saya, apa jua mekanisme kawalan yang diguna pakai kerajaan akan menjadi sia-sia sahaja.

“Janji-janji dibuat kerajaan adalah semata-mata kosmetik untuk  menenangkah hati rakyat dan saya pasti dalam keadaan ekonomi agak tenat, inflasi lebih daripada 5 peratus akan melanda negara tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau menegaskan, walaupun negara mempunyai undang-undang seperti peraturan Kawalan Harga dan Antipencatuan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) (Margin Keuntungan Bersih) 2014, tapi masalah kenaikkan harga selepas GST tetap tidak mudah untuk dikawal.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan baru-baru ini telah mengadakan Ops CATUT bagi memastikan tidak ada peniaga menaikkan harga secara tidak munasabah.

Dalam 335,647 pemeriksaan yang telah dijalankan di seluruh negara, sebanyak 1,185 kesalahan berjaya dikesan dan ia merangkumi rampasan sebanyak RM384,834.64 serta nilai kompaun RM235,986.70 dikenakan.

“Walaupun operasi dibuat dan tindakan diambil tetapi cubitan kenaikan harga itu sudahpun dirasai oleh semua lapisan masyarakat walaupun GST masih belum diamalkan,” ujar Sivakumar.

Setiausaha Antarabangsa DAP itu turut menyatakan, kerajaan seharusnya sedar bahawa tujuan sesuatu perniagaan adalah bermatlamat untuk memaksimakan keuntungan dan ia merupakan prinsip asas ekonomi.

Jelasnya, jika kos perniagaan meningkat, ia sudah menjadi lumrah untuk peniaga memindahkan kos itu kepada pelanggan.

Menurutnya, para peniaga sudah pasti tidak akan menanggung kos tambahan yang boleh mengurangkan keuntungan.

“Jadi, adalah sukar untuk kerajaan memaksa para peniaga supaya tidak menaikkan harga barangan apabila kos meningkat dan jika dilakukan secara paksa, ia akan menjadi gangguan yang melampau kepada iklim perniagaan itu sendiri.

“Suasana ini tentunya tidak baik untuk proses pembangunan negara yang seharusnya menjaga semua pihak termasuk para peniaga,” katanya. -Roketkini.com