Berita

Demo anti-GST: Sampai bila Polis nak jadi ‘pak turut’ UMNO?

KLANG, 24 MAC; Tanggungjawab kerajaan adalah mendengar masalah rakyat dan bukannya mengarahkan polis menangkap individu yang menentang kezaliman, kata Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Beliau berkata, penahanan hampir 90 orang awam semalam dalam protes anti-GST di Kelana Jaya tidak boleh diterima sama sekali.

“Sebagai warganegara mereka berhak meluahkan rasa tidak puas hati terhadap apa juga sistem cukai yang membebankan.

“Rakyat mempunyai hak dan ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk meluahkan rasa tidak puas hati dengan kerajaan dan menuntut keadilan.

“Mereka juga mempunyai hak untuk menyatakan kesusahan kewangan yang dihadapi dan bagaimana dasar-dasar setengah masak BN seperti GST lebih menambah penderitaan,” kata Charles dalm satu kenyataan.

Semalam puluhan aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk Pegawai Pejabat Charles iaitu Jay Jay Denis telah ditangkap selepas enam jam berada di Jabatan Kastam.

Sebelumnya, mereka merancang bermalam di kompleks Kastam itu sebagai membantah GST yang bakal dikuartkuasakan 1 April depan.

Mereka turut berusaha mendapatkan jawapan daripada Jabatan Kastam, dan lebih 100 soalan tentang pelaksanaan GS dikemukakan

Namun, pertanyaan kumpulan tersebut tidak dilayan Ketua Pengarah Kastam, sebaliknya peserta duduk bantah GST ditahan dan dikasari.

Antara ditahan di Kelana Jaya termasuk aktivis Wanita DAP Syefura Othman, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, Pensyarah Kanan Akademi Sosial Demokrasi Hew Kuan Yau, Ahli Parlimen Sungai Siput Michael Jeyakumar Devaraj dan lain-lain.

Charles yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor menegaskan, pertanyaan yang diajukan oleh puluhan mereka tentang permasalahan GST adalah sah dan wajar dijawab.

“Bilakah kerajaan dan polis akan memahami bahawa ia sememangnya dibolehkan untuk rakyat bertanya tentang dasar-dasar kerajaan?

“Bilakah agaknya mereka akan sedar bahawa orang yang berkuasa seperti mereka bertanggungjawab menjawab pertanyaan rakyat?

“Bilakah polis akan belajar bahawa mereka tidak boleh terus menjadi ‘pak turut’ UMNO? Dan sepatutnya melindungi kepentingan orang ramai?” soal Charles. -Roketkini.com