Berita

Duduk bantah anti-GST: DAP kecam tindakan kasar polis

KUALA LUMPUR, 24 MAC: DAP hari ini mengecam keras tindakan tidak bertanggungjawab polis menggunakan kekerasan menahan hampir 90 orang dalam duduk terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Kelana Jaya, semalam.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, tindakan tersebut bukan saja berlebihan malah membuktikan kepada umum bahawa polis sememangnya adalah alat kepada pemerintah BN.

“Tindakan menangkap hampir 90 orang dalam satu protes aman terhadap GST yang memberi kesan kepada golongan miskin di Jabatan Kastam Kelana Jaya semalam amat tidak wajar.

“Kami kesal dengan penggunaan kekerasan berlebihan terhadap sesetengah individu yang ditahan dan menggesa kesemua mereka dibebaskan segera,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan, Polis dan BN telah melakukan kesalahan besar jika mereka beranggapan bahawa tindakan menindas akan menakutkan rakyat.

“Taktik menindas ini tidak akan menyekat protes terhadap GST, termasuk penentangan salah guna kuasa dan langsung tidak menakutkan sesiapa yang bencikan rasuah,” ujarnya.

Antara ditahan di Kelana Jaya semalam adalah aktivis Wanita DAP Syefura Othman, Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Hatta Ramli, Pensyarah Kanan Akademi Sosial Demokrasi Hew Kuan Yau dan Ahli Parlimen Sungai Siput Michael Jeyakumar Devaraj.

Kata Guan Eng, biarpun BN mendakwa menjamin kebebasan bersuara, namun tindakan polis dibawah pimpinan Tan Sri Khalid Abu Bakar jelas memperlihatkan sebaliknya.

“Khalid nampaknya telah memastikan bahawa tidak ada kebebasan bersuara untuk orang-orang yang menentang BN.

“Malaysia tidak akan menjadi ‘intoleran’ jika Khalid bertindak secara adil tanpa rasa takut atau pilih kasih terhadap ucapan kebencian dari penyokong BN.

“Tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap ahli politik pro-UMNO yang mengancam untuk membakar Bible versi Bahasa Malaysia atau ahli politik yang menyebar fitnah kononnya masyarakat Cina di Kuala Kedah telah membakar Al-Quran,” ujarnya. -Roketkini.com