Berita

DAP Perak gesa LKIM kaji arahan pengumpulan hasil tangkapan di dua jeti

PANTAI REMIS, 4 APRIL: Arahan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia(LKIM) yang hanya membenarkan nelayan Perak mendaratkan tangkapan mereka di jeti Kuala Kurau dan Kampung Acheh membebankan nelayan dengan tambahan pelbagai kos.

ADUN Pantai Remis Wong May Ing dalam perbahasan titah Diraja di Dewan Undangan Negeri Perak berkata, arahan terbaru LKIM itu menyebabkan nelayan menanggung kos tambahan ekoran jarak jauh perjalanan dari Pantai Remis ke jeti Kampung Acheh.

“(Menurut LKIM) hanya dua jeti saja ditetapkan untuk tujuan pengumpulan. Kawasan Pulau Pangkor, manjung, Pantai Remis, Bagan Panchor dan Hili Perak di jeti Kampung Acheh.

“Perjalanan dari Pantai Remis ke jeti Kampung Acheh makan masa lima jam. Ia terlalu lama dan boleh menjejaskan kualiti tangkapan,”ulasnya.

May Ing menambah, ekoran perjalanan jauh kawasan terbabit ke jeti yang ditetapkan kini nelayan terpaksa menanggung kos tambahan.

“Nelayan terpaksa tanggung kos tambahan, contohnya RM3000 hingga RM8000 sebulan untuk diesel sahaja yang bergantung kepada saiz veselnya

“Bagi Hilir Perak ke Kg Acheh, dua hala lebih kurang 10 jam, kos dieselnya lebih tinggi. Ini belum mengira kos sewa, caj pendaratan bot, caj pendaratan hasil tangkapan dan sebagainya,”jelas May Ing.

Justeru itu ujarnya, pihak LKIM harus menilai kembali peraturan tersebut kerana ia memberi impak ekonomi yang besar kepada negeri Perak di samping mengurangkan peluang pekerjaan.

“Bukan nelayan tidak mahu bekerjasama dengan LKIM tetapi peraturan ini tidak bertimbang rasa.

“Jika LKIM mendapati ada nelayan tidak jujur dalam laporan hasil tangkapan, LKIM harus siasat bukan buat arahan yang menyusahkan nelayan.

“Saya harap pihak berkenaan kaji semula arahan ini. Kita harus bantu bukan susahkan nelayan dan timbulkan masalah yang lebih besar,”ujar May Ing lagi. – Roketkini.com