Berita

GST: Harga barangan turun, Najib dan Ahmad Maslan mungkir janji

PETALING JAYA, 4 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Menteri Kewangan Ahmad Maslan harus dipecat kerana mungkir janji apabila mengatakan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan penurunan harga barang.

Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Tony Pua berkata, janji itu dibuat kedua-dua mereka tahun lalu dengan hujah bahawa 48 peratus dan 56 peratus harga barangan akan menyaksikan penurunan.

Namun, tidak sampai seminggu pelaksanaan GST, rakyat menanggung kenaikan harga barangan dan perkhidmatan di seluruh negara.

“Tidak sampai seminggu GST dilaksanakan, rakyat hadapi kenaikan mendadak harga barangan dan perkhidmatan.

“Malah, sebahagian kenaikan melebihi enam peratus, kerana kos sebenar perniagaan meningkat ekoran pentadbiran cukai itu sendiri,” jelas Tony.

Tambahnya, jaminan Najib dan Ahmad Maslan bahawa kenaikan harga barangan dan perkhidmatan tidak sampai enam peratus, tidak boleh dipercayai.

“Bagaimana Kementerian Kewangan yang bertanggungjawab menguruskan ekonomi negara mengemukakan statistik tak masuk akal?

“Hari ini, realitinya hanya 10 peratus daripada jumlah barangan dan perkhidmatan mencatat penurunan harga, manakala sebahagian besar telah meningkat.

“Bagaimana kerajaan menjalankan kajiannya dan membuat kesimpulan seperti dinyatakan Kementerian Kewangan di parlimen?

“Selain huru-hara yang melanda pasaran disebabkan GST, cukuplah memungkiri janji-janji kononnya harga (barangan dan perkhidmatan) akan turun,” ujar Tony. – Roketkini.com