Berita

“Persoalannya kekal, sama ada Pakatan Rakyat boleh diselamatkan” – Kit Siang

GELANG PATAH, 5 APRIL: Sama ada PAS gagal atau tidak membawa usul undang-undang hudud Kelantan melalui presidennya di Parlimen, persoalannya apakah Pakatan Rakyat dapat diselamatkan terus menjadi tanda tanya.

Persoalan itu dibangkitkan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berhubng sikap dan tindak-tanduk presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang yang tidak mengiktiraf prinsip Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

“Terima kasih kepada DAP dan PKR kerana membantah usul persendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen untuk pelaksanaan hudud Kelantan sehingga ia tidak lagi dapat dibentang di Parlimen.

“Namun, persoalan tetap timbul. Apakah Pakatan Rakyat masih dapat diselamatkan?

“Perselisihan Presiden PAS Hadi Awang lebih besar dari isu hudud itu. Ia persoalan kepercayaan dan maruah parti politik dan pimpinannya.

“Adakah mereka boleh teguh berpegang dengan janji dan dapat diberikan kepercayaan atas janji dan komitmen mereka,” kata Kit Siang.

Ujarnya, ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat ditubuhkan pada 2008 berasaskan ‘Dasar Bersama sebagai prinsip perjuangan untuk menggantikan UMNO-BN.

Ketiga-tiga parti bersetuju menerima bahawa setiap dasar dan keputusan mestilah diambil dari persetujuan dari kesemua parti komponen, dan bukannya seseorang individu atau pimpinannya mempunyai kuasa veto ke atas parti yang lain.

“Jika kedua-dua prinsip ini asyik dilanggar Hadi dalam Pakatan. bagaimana kepercayaan dan kerjasama dapat berjalan antara ketiga-tiga parti Pakatan? soal Kit Siang lagi. – Roketkini.com