Berita

Ketua Parlimen DAP jawab kritikan, ‘Selamatkan Malaysia’ bukan UG

GELANG PATAH, 5 APRIL: Kritikan terhadap pendapat peribadi Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang kononnya beliau ingin jadi menteri kabinet Perdana Menteri Najib Tun Razak dijawab ahli politik veteran itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, pengkritik cadangan kerajaan baru dengan tujuan menyelamatkan Malaysia tidak memahami maksud ‘pasca-BN, dan pasca-PR’ yang dipopularkannya.

“Jelas sekali mereka yang mengkritik cadangan saya tidak memahami maksud apa yang dikatakan ‘pasca-BN dan pasca-PR’.

“Saya tidak sesekali cuba memperjuangkan ‘Kerajaan Perpaduan’(UG) antara DAP,UMNO dan BN atau jauh sekali sebuah gabungan DAP, PKR, MCA dan GERAKAN.

“(Cadangan saya itu) menekankan bahawa ‘Pakatan baru’ pasca-BN, PR sebelum pilihanraya ke-14 mestilah inklusif sepenuhnya.

“Dengan kata lain, ia adalah kerajaan gabungan pelbagai kaum, agama, dan daerah,” jelas Kit Siang.

Beliau menjelaskan, pakatan atau gabungan baru itu mestilah terdiri dari pelbagai agama dan kaum, tanpa meminggirkan warga Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, beliau menegaskan ‘kerajaan baru’ itu wajib diasaskan atas lima dasar termasuklah mempertahankan perlembagaan yang menyebut Islam sebagai agama rasmi dan Bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara.

Dasar- dasar itu juga meletakkan agenda reformasi sistem pemerintahan sedia ada dengan mempromosikan kepercayaan sesama kaum serta memastikan kedaulatan rakyat dimartabatkan dalam demokrasi berparlimen.

“Keutamaan kerajaan baru ini adalah memartabatkan perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

“Inilah batu asas untuk menubuhkan gabungan kerajaan pasca-BN dan pasca-PR bagi ‘Selamatkan Malaysia’ sebelum pilihanraya ke-14.

“Adakah ini praktikal dan ia dapat dicapai?” soal Kit Siang. – Roketkini.com