Berita

Pindaan Akta Hasutan: PBB kecam agenda zalim kerajaan

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: DAP mengutuk sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen BN Pengerang Azalina Othman Said bahawa tindakan Pakatan Rakyat (PR) membantah pindaan Akta Hasutan adalah berlandaskan emosi dan bukannya fakta.

Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming berkata, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali kerana keutamaan Pakatan adalah mengangkat hak kebebasan rakyat, terutama bagi menyatakan ketidakpuasan hati mereka.

“Pengerang kata kami (PR) terlalu ikut emosi. Baik, saya beri contoh.

“Jika seseorang itu beragama Islam dan menganut ajaran Islam. Tapi jika dia tidak puas hati dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), adakah ia dianggap sebagai menghasut?

“Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Zeid Ra’ad Al Hussein hari ini telah mendesak kerajaan untuk menarik balik pindaan akta zalim itu.

“Zeid menyebut, pindaan baru akta menjejaskan kebebasan bersuara dan pendapat di negara ini, melanggar Perlembagaan Persekutuan serta obligasi hak asasi manusia antarabangsa,” katanya dalam perbahasan bacaan kedua pindaan Akta Hasutan di Dewan Rakyat.

Menyokong Nga, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah berkata, akta tersebut bertentangan dengan Fasal 63(4) Perlembagaan Persekutuan yang memberikan kekebalan bagi sesuatu yang diucap seseorang wakil rakyat semasa perbahasan dalam Dewan Rakyat.

Izzah merujuk kes bekas Ahli Parlimen Kinabalu Mark Koding yang diambil tindakan di bawah Akta Hasutan apabila menyentuh mengenai sekolah vernakular semasa berucap di Dewan Rakyat pada 18 Oktober 1978.

“Ini bermaksud, Akta Hasutan sama sekali bercanggah dari Perlembagaan dan tidak patut dikuatkuasakan,” tegas Nga. – Roketkini.com