Berita

Kerjasama PAS-UMNO, umpama pelanduk lupakan jerat

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: DAP menasihatkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya jangan pernah lupa bahawa partinya pernah berkali-kali ditipu UMNO dan tidak seharusnya menjalinkan apa jua kerjasama dengan mereka.

Ahli Parlimen Bukit Bendera Zairil Khir Johari berkata, sebagai orang lama dalam kancah politik negara, Hadi seharusnya faham bahawa UMNO cuma lunak kepada PAS ketika mereka terdesak.

“Mengapa Hadi begitu terburu-buru untuk mewajibkan kerjasama dengan UMNO setelah acap kali dikhianati mereka?

“Apakah (isu) hudud ini sahaja yang dikira mampu menyelamatkan beliau dalam Muktamar akan datang, memandangkan tidak ada lagi kejayaan lain mampu disandarkan?

“Adalah amat malang bagi PAS dan rakyat Malaysia yang inginkan perubahan besar sekiranya kepimpinan parti hanya terdaya untuk bergantung kepada musuh politik bagi mengekalkan kepentingan mereka.

“Setelah berkali-kali ditipu oleh UMNO, PAS seharusnya sedar dan tidak menjadi pelanduk yang lupakan jerat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zairil berkata demikian sebagai respon kepada kenyataan Hadi yang dilaporkan Mingguan Malaysia baru-baru ini bahawa PAS wajib berunding dengan UMNO demi memastikan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Hadi juga mendakwa, pemimpin dan ahli PAS tidak sewajarnya mempersoalkan keikhlasan UMNO menyokong pelaksanaan hukum itu, khususnya apabila rang undang-undang persendirian berkaitan hudud dibentangkan di Dewan Rakyat kelak.

Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP menegaskan, Hadi seharusnya maklum bagaimana UMNO telah menipu dan hampir melenyapkan PAS pada tahun 70-an melalui penyertaan mereka dalam kerajaan campuran UG pertama iaitu Barisan Nasional.

Jelasnya, ekoran pembentukan gabungan besar itu, UMNO-BN mendapat kejayaan besar pada Pilihanraya Umum (PRU) 1974, namun jasa PAS dibayar tiga tahun kemudian apabila mereka disingkirkan melalui helah ‘darurat’ di Kelantan.

“Akibatnya, PAS bukan saja kehilangan Kelantan, malah hampir terkorban apabila parti tersebut dilanda perpecahan dan krisis kepimpinan. Apakah peristiwa hitam ini sudah dilupai?

“Lebih penting lagi, apakah Hadi tidak mempersoalkan mengapa UMNO sanggup membantu PAS melaksanakan hudud di Kelantan, sedangkan mereka langsung tidak menunjukkan minat dan membentangkannya di negeri yang mereka kuasai dengan majoriti dua pertiga?

“Presiden UMNO (Datuk Seri Najib Razak) sendiri terus mengelak daripada menyatakan pendiriannya berkenaan hudud, sementara terdapat menteri UMNO yang terang-terang menolak pelaksanaan hukum tersebut,” tegasnya. – Roketkini.com