Berita

Generasi muda wajar contohi perjuangan mendiang Karpal – Guan Eng

GEORGE TOWN, 18 APR: Generasi muda negara harus mencontohi mendiang Karpal Singh yang telah berjuang sepenuh hati menentang apa juga ketidakadilan di negara ini, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

“Orang seperti Karpal yang telah berjuang sekuat tenaga terhadap sebarang bentuk ketidakadilan dan penindasan.

“Generasi sekarang dan masa akan datang mesti melakukan perkara yang sama.

“Saya ingin berkongsi kata-kata dari Albert Einstein, ‘dunia ini tidak akan dimusnahkan oleh orang yang melakukan kejahatan, tetapi oleh orang-orang yang hanya melihat kejahatan tanpa melakukan apa-apa’.

“Itulah dia falsafah Karpal, bagaimana dia menempuhi hidupnya, bagaimana dia mempengaruhi, bergerak dan memberi semangat kepada individu disekelilingnya.

“Jadi marilah kita memuliakan beliau dengan melakukan sesuatu dan bangun menentang pihak yang melakukan kejahatan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Forum Karpal Singh 2015: Akta Hasutan dan Hak Asasi Manusia di Malaysia di Dewan Sri Pinang, hari ini.

Katanya lagi, hanya apabila tidak ada lagi sebarang penindasan dan kezaliman, barulah kita boleh memanggil Malaysia sebagai sebuah negara yang benar-benar demokratik dan membangun, bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa.

Beliau turut memuji dan mengucapkan tahniah kepada Majlis Peguam Pulau Pinang kerana menganjurkan forum tersebut yang sekaligus meneruskan perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik.

“Saya memuji dan mengucapkan tahniah kepada Majlis Peguam Pulau Pinang di atas penganjuran forum ini sebagai tanda ingatan kepada Karpal dan meneruskan perjuangan yang baik dengan mendidik serta mewujudkan kesedaran di kalangan orang ramai terutamanya generasi muda untuk mengetahui bagaimana undang-undang tidak adil dan menindas seperti Akta Hasutan memberi kesan kepada kita semua,” ujarnya.

Forum yang dianjurkan oleh Majlis Peguam Pulau Pinang dengan sokongan Penang Institute dan kerajaan negeri diadakan pagi tadi sebagai lanjutan dari kelulusan pindaan Akta Hasutan

Antara barisan panelis tadi ialah peguam pemerhati Law Asia dalam kes Akta Hasutan Karpal iaitu Mark Trowell QC, anggota Pengasas Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia Datuk Mahadev Shanker, Presiden Majlis Peguam Steven Thiru, peguam bela hak asasi terkemuka Datuk Ambiga Sreenevasan dan akan dimudahcara oleh bekas Presiden Majlis Peguam Christopher Leong. – Roketkini.com