Berita

Isu Rohingya ukur kepimpinan Malaysia dalam ASEAN

KLANG, 20 APR: Sebagai pengerusi dan negara yang bertanggungjawab membawa Myanmar ke dalam ASEAN, Malaysia perlu memastikan isu pelarian Rohingya dibincangkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-26 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 26 dan 27 April imi.

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata, negara anggota ASEAN perlu mendesak Myanmar, dan melobi agar kaum Rohingya diiktiraf sebagai warganegara.

“Ketika kita mengalu-alukan proses damai kerajaan Myanmar, perkara ini turut merangkumi isu kaum Rohingya.

“Jika tidak, persidangan ini hanya sekadar sekumpulan orang bekuasa yang hanya berjabat salam, duduk di meja makan, berpura-pura seolah-olah semuanya berjalan lancar dan mengabaikan isu penting,” kata Charles dalam satu kenyataan.

Ujar Charles, pembunuhan dan penganiayaan keatas masyarakat Rohingya tidak menunjukkan tanda-tanda berakhir.

Ini kerana dalam masa Myanmar sibuk membuat persiapan menghadapi pilihan raya November ini, terdapat kebimbangan wujudnya peningkatan keganasan terhadap kaum Rohingya dan masyarakat Islam lain di negara itu.

“Realiti tentang kaum Rohingya di Myanmar tetap menjadi salah satu isu yang terus diselubungi kekecewaan dan ketidakpastian. Mereka hidup di kem-kem pelarian penuh sesak, di Sittwe dengan kekurangan keperluan asas.

“Akses kepada air minuman bersih dan makanan masih terhad, meskipun terdapat bantuan daripada Program Makanan Dunia.

“Baru-baru ini pembuat filem dan jurugambar mendedahkan bahawa ada wanita yang diculik oleh tentera untuk dijadikan hamba seks, manakala kanak-kanak lelaki dan dewasa sering hilang atau akhirnya ditemui mati.

“ASEAN tidak boleh berdiam diri dengan bersembunyi di sebalik dasar tidak campur tangan, atau menutup mata terhadap pencabulan hak asasi manusia terhadap pembunuhan beramai-ramai yang ditaja pihak berkuasa ke atas kaum Rohingya di Myanmar,” tegas Charles.

Tambahnya, sekiranya peranan China di Laut China Selatan merupakan isu penting tahun lalu, tahun ini nasib kaum Rohingya memerlukan perhatian serius.

“Selama bertahun-tahun, ASEAN diejek sebagai harimau tidak bertaring.

“Jika Kuala Lumpur menamatkan mesyuarat tahunan kali ini dengan mengelak dari membahaskan isu kaum Rohingya, maka ASEAN akan terus menanggung stigma memalukan dan cemuhan bagi tahun-tahun mendatang,” ujar Charles. – Roketkini.com