Berita

Khalid Abu Bakar tak layak ketuai siasatan protes turunkan salib

KUALA LUMPUR, 21 APR: Tindakan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar melepaskan peserta protes salib dari sebarang tindakan amat meragukan, berikutan penglibatan abangnya dalam kejadian itu, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua.

“KPN menolak kes tanpa memulakan apa-apa siasatan menimbulkan persoalan tentang kejujuran beliau, terutamanya apabila pemimpin protes tersebut adalah abangnya sendiri,” kata Tony dalam satu kenyataan.

Tegas Tony, dakwaan Khalid bahawa protes itu tidak menyalahi undang-undang kerana ia tidak bertukar ganas amat membingungkan, berikutan Akta Hasutan dan Seksyen 298 (A) (1) Kanun Keseksaan tidak memerlukan pencerobohan fizikal.

Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan terhadap tindakan yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci-membenci atau niat jahat untuk memudaratkan keharmonian atas alasan agama.

“Jika ‘keganasan’ merupakan ukuran sesuatu tindakan akta hasutan, kenapa hampir 150 orang ditahan dan dipanggil membantu siasatan di bawah Akta Hasutan walaupun tiada sebarang keganasan?

“Kartunis Zunar didakwa sembilan kali kerana menghasut, tetapi tidak ada satu pun kartunnya menyebabkan pertumpahan darah walau setitis pun sejak bertahun-tahun lalu,” tegasnya.

Tony yang juga Pengerusi DAP Selangor menyatakan, tindakan Khalid jelas hanya melindungi tindakan membuli samseng yang mengugut dan mengancam agama serta kaum minoriti sehingga menimbulkan ketakutan.

Beliau turut menasihatkan KPN agar tidak terlibat dalam siasatan kes protes salib 50 orang penduduk Taman Medan di Petaling Jaya bagi mengelakkan konflik kepentingan.

Sebaliknya kata beliau, siasatan perlu diambil alih dan diketuai Timbalan KPN Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan melaporkannya terus kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya lagi, Khalid tidak layak mengetuai siasatan kerana protes terhadap gereja itu diketuai pemimpin Umno, di mana salah seorang daripada mereka adalah abangnya sendiri, Datuk Abdullah Abu Bakar.

“Sekurang-kurangnya tidak ada situasi memalukan apabila KPN dengan pantas menyanggah dakwaan hasutan dan mempertahankan tindakan abangnya bagi menghalang siasatan,’ sindir Tony. – Roketkini.com