Berita

Zahid Hamidi perlu arah KPN kosongkan jawatan hingga siasatan selesai

KUALA LUMPUR, 21 APR: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu mengarahkan Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Khalid Abu Bakar mengosongkan jawatannya buat sementara sehingga siasatan kes protes salib berjaya diselesaikan sepenuhnya.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, hanya dengan mengarahkan penggantungan tugas Khalid akan membuktikan Zahid benar-benar serius terhadap kenyataannya bahawa kes tersebut adalah satu hasutan.

“Zahid hanya boleh membuktikan dia ikhlas melindungi hak kebebasan beragama masyarakat bukan Islam dengan meminta KPN berundur buat sementara waktu sehingga siasatan polis terhadap kes melibatkan bang Khalid selesai.

“Hanya dengan berundur dan membenarkan timbalannya mengambil alih dalam tempoh interim penyiasatan polis dapat memulihkan keyakinan orang ramai bahawa masih ada kedaulatan undang-undang di Malaysia.

“Dan polis akan menegakkan undang-undang, bukannya melindungi saudara-mara mereka sendiri,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan.

Khalid semalam mendakwa tidak ada sebarang unsur jenayah dalam protes menurunkan lambang salib di Taman Medan dan ia tidak menjadi satu kesalahan.

Namun selepas itu, Zahid melahirkan pandangan berbeza dengan menegaskan tindakan di bawah Akta Hasutan mungkin diambil terhadap kumpulan protes.

Menurut Zahid, tindakan tetap akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyentuh sensitiviti agama, sama ada agama Islam mahupun agama lain.

Guan Eng bagaimanapun menyifatkan kenyataan Zahid itu hanya mengurangkan kerosakan (damage control) sedia ada.

Tegas Ketua Menteri Pulau Pinang itu lagi, keengganan Khalid mengambil tindakan adalah bukti bagaimana Akta Hasutan memang digunakan sebagai senjata politik terhadap pembangkang dan sesiapa jua yang menentang BN.

“Kegagalan KPN mengambil tindakan tegas telah menamatkan seruan kesederhanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” ujarnya. – Roketkini.com