Berita

Kemenangan di Permatang Pauh bukti sokongan kepada Anwar – Guan Eng

GEORGE TOWN, 8 MEI: Kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di pilihanraya kecil Permatang Pauh semalam membuktikan sokongan berterusan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini terpenjara.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini berkata, pengundi Permatang Pauh berjaya menggagalkan usaha UMNO untuk mendiamkan ‘suara’ rakyat Permatang Pauh.

“Ini merupakan satu kejayaan dalam membersihkan nama Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang merana di penjara akibat kezaliman dan pendakwaan terpilih oleh kerajaan Persekutuan yang diketuai Umno.

“DAP mengucapkan tahniah kepada PKR di atas pencapaian yang begitu baik dalam mengekalkan kerusi Permatang Pauh dalam pilihanraya kecil semalam,” kata Guan Eng.

Ujarnya, Umno terus gagal merampas kerusi Permatang Pauh selepas 17 tahun, ditambah penolakan rakyat terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), skandal kewangan negara, politik perpecahan kaum dan agama, selain ugutan dan penipuan oleh BN.

“Naib Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi begitu yakin akan dapat merampas kejayaan.

“Media arus perdana yang dikawal BN berulang-kali menyebut bahawa ada kemungkinan Umno akan berjaya. Penyudahnya undi bagi BN hanya bertambah sekadar 0.38 peratus menjadi 40.44 peratus,” kata Guan Eng.

Jika isu Tabung haji dibongkar awal, BN kalah lebih teruk

Tambah Guan Eng, sekiranya pendedahan mengenai pembelian tanah 1MDB oleh Lembaga Tabung Haji terjadi beberapa hari sebelum hari mengundi, Umno pastinya akan tewas dengan jumlah undi lebih besar.

Malah katanya, rakyat juga telah putus asa dengan politik ketakutan BN yang menggunakan perkauman dan agama serta ugutan dan penipuan untuk menakut-nakutkan pengundi supaya menyokong BN.

“Taktik kotor sedemikian, yang mungkin berkesan pada zaman dahulu, tidak lagi berkesan ke atas pengundi Permatang Pauh,” ujar Guan Eng.

Dalam pada itu kata Guan Eng, pengundi Permatang Pauh lebih menyukai dasar-dasar kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat yang lebih mengutamakan rakyat

“Walaupun Umno menuduh bahawa tidak ada pembangunan, kerajaan negeri Pulau Pinang menyumbang lebih RM70 juta dalam bentuk bantuan tunai dan dana pembangunan sejak 2008, atau RM10 juta setiap tahun secara purata.

“Komitmen daripada kesemua parti Pakatan Rakyat serta kerajaan Pulau Pinang menjamin kemenangan ini.

“Walaupun wujud beberapa masalah dan isu yang belum selesai di peringkat nasional, kesemua parti Pakatan Rakyat telah bekerjasama untuk menangkis serangan daripada UMNO, ” kata Guan Eng. – Roketkini.com