Berita

JPA sepatutnya sasarkan FLOM dan jabatan tak bermanfaat

KUALA LUMPUR, 12 MEI: Beberapa kementerian harus dikecualikan daripada pelaksanaan pembekuan ambilan staf baru oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang sewajarnya memberi tumpuan kepada usaha mengurangkan saiz jabatan-jabatan tertentu yang tidak benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

Gesaan tersebut dibuat oleh Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching hari ini sambil menyatakan bahawa pembekuan jawatan terhadap seluruh jabatan kerajaan adalah perkara yang mustahil kerana beberapa sektor dalam negara masih memerlukan staf baru.

“Selain daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan juga perlu mengambil lebih ramai guru sekolah baru,” ujarnya.

Justeru itu Nie Ching dalam kenyataannya menyatakan sokongan terhadap kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam yang mahu kementerian yang ditadbirnya dikecualikan daripada ‘pembekuan’ itu.

“Saya sokong Dr Subramaniam supaya jabatan kesihatan dikecualikan daripada ‘pembekuan jawatan’. Usaha pengawalan saiz perkhidmatan awam tidak boleh mengorbankan kesihatan rakyat.

“Menurut laporan ‘Petunjuk Pembangunan Dunia: Sistem Kesihatan’ yang disediakan Bank Dunia, purata “satu doktor bagi setiap 1000 orang” adalah nisbah bagi negara-negara berpendapatan sederhana 1.8. Bagi Malaysia, nisbahnya hanya 1.2,”

“Ia jelas menunjukkan perkhidmatan sektor kesihatan kita adalah jauh di bawah piawaian dan pastinya Malaysia memerlukan lebih banyak hospital dan doktor,” tambah beliau.

Menurut Nie Ching, pembekuan jawatan baru yang diumumkan JPA akan menjejaskan pembukaan hospital baru serta perkhidmatan kepada pesakit.

“Sebaliknya, JPA perlu kurangkan saiz jabatan-jabatan tertentu yang tidak benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, seperti FLOM, Duta Khas dan Penasihat Khas di bawah Jabatan Perdana Menteri, Cawangan Khas, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), JKKKP dan lain-lain lagi,” terang Nie Ching. – Roketkini.com